Pemain skuasy S. Sivasangari menggondol pingat emas dalam acara perseorangan wanita di Sukan Asia Hangzhou 2022 pada 5 Oktober 2023. Foto Facebook Bernama
AGENDASUKANKINI

Sukan Asia: Skuasy terus bersinar era pasca-Nicol

HANGZHOU, 6 OKT: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) optimis terhadap masa depan sukan itu berdasarkan pencapaian Sukan Asia Hangzhou, yang pertama di Asia pada era pasca-Nicol David.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S. Maniam berkata SRAM amat gembira dengan pencapaian tiga emas, satu perak dan satu gangsa, melepasi sasaran dua pingat, apabila ia melabuhkan tirai di Gelanggang Skuasy Pusat Sukan Olimpik Hangzhou di sini, semalam.

Walaupun tidak mempunyai legenda skuasy Datuk Nicol David, selepas Atlet Terunggul Sepanjang Zaman itu bersara pada 2019, pasukan negara masih berjaya muncul sebagai negara teratas dalam saingan skuasy Sukan Asia.

Mengulas mengenai pencapaian Ng Eain Yow, 25, dan S. Sivasangari, 24, meraih pingat emas individu lelaki dan wanita semalam, beliau berkata kedua-dua pemain itu masih muda dan mampu menyumbang lebih banyak kepada negara dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Maniam turut memuji gandingan beregu campuran Mohammad Syafiq Mohd Kamal-Aifa Azman, yang terpaksa berpuas hati meraih perak selepas menghadapi pertarungan sengit menentang pilihan utama Dipika Pallikal-Harinder Pal Singh Sandhu dari India sebelum tumpas 10-11, 10-11.

“Pada Sukan Asia akan datang, kami akan cuba menyamakan keputusan di sini. Kami tidak akan berpuas hati dengan kejayaan ini. Kami akan sentiasa berusaha keras untuk menghasilkan keputusan yang kami inginkan.

“Kedua-dua pemain Eain Yow dan Siva masih muda, mereka berpeluang menyertai satu atau dua kali Sukan Asia. Kami mempunyai pemain muda Aira Azman, yang berusia 19 tahun dan mempunyai beberapa pemain muda bagi kategori lelaki, jadi masa depan adalah cerah,” katanya.

Pada Sukan Jakarta-Palembang 2018 di Indonesia, pasukan negara menduduki tempat kedua di belakang Hong Kong dengan keputusan 2-1-2 manakala pencapaian terbaik pada edisi Guangzhou 2010 di China dengan pencapaian 3-1-2.

Hanya empat pingat emas ditawarkan dalam pertandingan sebelum ini kerana acara beregu campuran baharu sahaja membuat penampilan sulung pada edisi Hangzhou.

– BERNAMA


Pengarang :