Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir (tujuh, kiri) dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Russayani Ismail (tujuh, kanan) bersama barisan penyelidik kajian operasi pengurusan sisa dan inisiatif kitar semula selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kerjasama itu di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 6 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kerjasama KDEBWM-UUM fokus kajian pengurusan sisa, pusat kitar semula

SHAH ALAM, 6 OKT: KDEB Waste Management (KDEBWM) bekerjasama dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi kajian operasi pengurusan sisa dan pembangunan pusat kitar semula baharu di Selangor.

Pengarah urusan KDEBWM berkata sokongan kewangan dalam bentuk geran akan disediakan kepada Sekolah Teknologi, Pengurusan dan Logistik (STML) UUM untuk menjalankan penyelidikan selama setahun.

Dato’ Ramli Mohd Tahir menjelaskan tiga penyelidik universiti berkenaan akan terlibat dalam kaedah kajian kualitatif dan kuantitatif meliputi pengumpulan data, temu bual dan lawatan tapak.

“Penting untuk KDEBWM buat kajian supaya kita dapat data yang betul untuk memantapkan strategi operasi pengurusan sisa dan kitar semula. Pemilihan UUM kerana kita yakin ia antara universiti terkedepan dalam kajian teknikal.

“Diharap kaedah kajian digunakan membantu kita mengenal pasti lokasi baharu sesuai untuk pembinaan lapan lagi pusat kitar semula sebagai tambahan kepada empat sedia,” katanya.

Terdahulu, memorandum persefahaman (MoU) kajian itu dimeterai di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini. UUM diwakili Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dr Russayani Ismail.

Sementara itu, Russayani berkata pengumpulan data kajian terbabit akan melibatkan semua pemegang taruh KDEBWM, komuniti dan pemain industri di Selangor bagi mencapai keputusan terbaik.

“Kami berterima kasih kepada KDEBWM kerana memberi kepercayaan sepenuhnya mengendalikan kajian ini. Kami akan kepakaran daripada segi teori, manakala KDEBWM ada pengalaman praktikal.

“Insya-Allah, gabungan kedua-dua gabungan ini diyakini dapat menghasilkan keputusan terbaik bagi setiap permasalahan yang timbul dalam industri demi kebaikan komuniti,” katanya.


Pengarang :