Skuad sepak takraw negara akan menentang Thailand pada perlawanan akhir selepas menundukkan Filipina 2-0 pada aksi separuh akhir di Sukan Asia pada 6 Oktober 2023. Foto Facebook Persatuan Sepaktakraw Malaysia – PSM
AGENDASUKANKINI

Sukan Asia: Skuad sepak takraw berdepan tugas getir pertahan emas

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

HANGZHOU, 6 OKT: Skuad sepak takraw negara mempunyai satu lagi peluang untuk menebus maruah dan menghadiahkan pingat emas di Sukan Asia Hangzhou 2022 apabila mengesahkan tempat di final acara antara regu lelaki selepas menundukkan Filipina 2-0 pada aksi separuh akhir, hari ini.

Pada pertembungan di Gimnasium Pusat Sukan Jinhua itu, Malaysia yang menurunkan regu Mohamad Azlan Alias, Amirul Zazwan Amir dan Mohammad Syahir Mohd Rosdi tidak berdepan masalah mengatasi trio Rheyjey Ortouste, Jason Huerte dan Ronsited Gabayeron 21-15, 21-11.

Skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun itu yang merupakan juara bertahan akan membuat perhitungan menentang Thailand yang sebelum ini menewaskan mereka di pentas final acara regu berpasukan lelaki minggu lepas.

Thailand mara ke final selepas mudah menjinakkan Vietnam 21-5, 21-7 dalam tempoh 25 minit pada satu lagi aksi separuh akhir.

Pengurus skuad sepak takraw negara, Sarifudin Mohd Salleh, berharap barisan pemain negara tidak mengulangi kesilapan sama sewaktu di final berdepan Thailand sebelum ini.

“Saya berharap mereka dapat bermain dengan yakin dan konsisten untuk menghasilkan permainan sempurna supaya dapat memberi tekanan kepada Thailand,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan optimis regu negara mampu mengalahkan Thailand.

“Kita pernah ada sejarah menang. Sekiranya semua pemain dapat bermain dengan prestasi yang terbaik dan mengurangkan kesilapan serta berada pada tahap semangat juang yang tinggi, tidak mustahil kita akan mengalahkan Thailand,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.

Untuk rekod, Malaysia merangkul pingat emas antara regu lelaki pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia yang menyaksikan Thailand tidak menghantar penyertaan dalam acara itu.

– BERNAMA


Pengarang :