Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Selangor (PKNS) Dato’ Mahmud Abbas berucap ketika Ekspo Usahawan Selangor 2023 (SELBIZ 2023) anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam pada 7 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Ekspo usahawan sasar potensi nilai jualan lebih RM1 juta

SHAH ALAM, 7 OKT: Ekspo Usahawan Selangor 2023 (SELBIZ 2023) anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan potensi nilai jualan lebih RM1 juta dalam penganjuran keduanya tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Mahmud Abbas berkata sasaran itu melebihi RM500,000 berbanding perolehan yang dicatat pada ekspo sama tahun lalu.

“Tahun ini kita ada 200 reruai jualan daripada pelbagai industri dan kita juga sasar kehadiran pengunjung seramai 15,000 orang dalam tempoh tiga hari.

EXCO Keusahawanan Najwan Halimi dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Selangor (PKNS) Dato’ Mahmud Abbas meninjau reruai Plats pada Ekspo Usahawan Selangor 2023 (SELBIZ 2023) anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam pada 7 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Ia menjadi medan kepada usahawan untuk mempromosi jenama produk mereka selain berpeluang meluaskan pasaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya pada sidang media.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian SELBIZ 2023 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini hari ini. Ia dirasmikan EXCO Keusahawanan Najwan Halimi.

Sementara itu, Najwan berkata Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan SELBIZ sebagai program tahunan bagi membantu lebih ramai usahawan perusahaan kecil sederhana (SME) di Selangor.

Menurutnya ekspo perniagaan PKNS itu merupakan platform terbaik kepada mereka untuk meneroka potensi baharu dan membina jaringan keusahawanan.

. EXCO Keusahawanan Najwan Halimi meninjau reruai Sirim Berhad pada Ekspo Usahawan Selangor 2023 (SELBIZ 2023) anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam pada 7 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Di Selangor, kekuatan ekonomi kita adalah dalam kalangan SME. Kita mahu tunjuk bahawa negeri ini yang paling ke depan sekali untuk membantu dan menaikkan usahawan,” katanya.

SELBIZ 2023 yang bermula semalam hingga esok menampilkan pelbagai program seperti jualan fiesta kopi, cabutan bertuah, larian santai dan ceramah keusahawanan.

Turut ditampilkan persembahan artis popular antaranya Tomok, Ernie Zakri, Amir Masdi, Floor 88 dan Ara Johari pada konsert malam ini.

SELBIZ edisi pertama yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada September tahun lalu berjaya menarik penyertaan 149 pempamer serta 5,000 pengunjung.


Pengarang :