Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap dalam sidang media di foyer pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 4 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rakyat makin yakin Kerajaan Perpaduan mampu tadbir negara

SHAH ALAM, 8 OKT: Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai membuktikan rakyat semakin yakin dengan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi Pakatan Harapan Pahang Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kejayaan itu merupakan pengiktirafan bahawa rakyat melihat kerajaan hari ini sebagai wadah terbaik untuk memajukan dan memakmurkan negara.

“Alhamdulillah warga Pelangai memberi sokongan begitu hebat kepada calon perpaduan, Datuk Amizar Abu Adam yang dipilih sebagai wakil rakyat dalam PRK yang berlangsung hari ini (semalam),” katanya dalam kenyataan di X.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor merakam ucapan terima kasih kepada jentera pilihan raya dan pihak keselamatan yang melancarkan proses pengundian yang bermula sejak dua minggu lalu.

Calon Barisan Nasional Datuk Amizar Abu Adam beramah mesra bersama pengundi kaum India ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Pelangai di Sungai Gapoi, Bentong pada 28 September 2023. Foto BERNAMA

Amizar yang juga ahli jawatankuasa Umno Bentong memperoleh 7,324 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni yang hanya meraih 47 undi.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu selepas penyandangnya Datuk Seri Johari Harun yang juga pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

Pada (PRU15) November tahun lepas, Johari yang mewakili BN menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim (PN) yang mendapat 3,260 undi, calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri (2,031 undi) dan calon Pejuang Isa Ahmad (65 undi).


Pengarang :