Faizal Tahir ketika mengadakan konsert Aku Faizal Tahir Live in Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 3 September 2023. Foto Facebook Faizal Tahir
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Bangkit daripada kesilapan, Faizal kini lebih matang

Oleh Intan Syuhada Akhir

Hanyut dilanda arus populariti. Itu pengakuan penyanyi Faizal Tahir yang tidak menyangkal kritikan seolah-olah lupa diri pada awal kemunculannya.

Kontroversi menanggalkan baju dalam persembahan dengan logo ‘Superman’ yang dicacah badannya dalam konsert televisyen pada 2008 menyebabkan seluruh negara tersentak.

Akibatnya, dia dilarang membuat persembahan oleh stesen televisyen swasta selama beberapa bulan sehingga terlepas peluang bersaing dalam Anugerah Juara Lagu tahun itu.

Ketika itu, lagu Mahakarya Cinta dendangannya meledak. Ia kerap dimainkan di corong radio selain menjadi siulan generasi muda. Popularitinya menjulang dan peminat memberi julukan Superman kepada Faizal.

Pemilik nama penuh Ahmad Faizal Muhammad Tahir, 44, mengakui pengalaman itu telah mengajarnya supaya lebih matang dan sentiasa beringat.

“Saya kena akui, memang awal-awal bergelar anak seni adakalanya saya hanyut. Waktu itu saya muda dan ramai peminat. Kononnya yang paling rock star.

“Bila sudah makin mendewasa, saya faham yang kita perlu ada rasa rendah diri. Saya masih di sini hari ini pun kerana sokongan dan juga kritikan yang saya terima.

“Bila lihat kerjaya saya semula. Betul, saya pernah buat kesilapan, pernah kena ‘gam’ buat benda yang salah. Saya belajar daripada semua pengalaman itu dan bersyukur kerana saya diberikan sistem sokongan yang kuat,” katanya kepada Selangorkini baru-baru ini.

Foto Facebook Faizal Tahir

Perubahan muzik

Belajar daripada kesilapan, Faizal bangkit dan mengembangkan bakat dalam tempoh sedekad selepas kontroversi melanda.

Menerusi lima album, penyanyi itu mempunyai deretan lagu-lagu malar segar seperti Sampai Syurga, Sejati, Sayang, Gemuruh, Assalamualaikum, Ragaman dan Santai.

Namun, Faizal mengakui perubahan usia telah membawanya kepada suatu fasa kematangan yang tercermin menerusi lagu yang dihasilkannya.

“Lagu ciptaan saya belakangan ini berubah. Sekarang saya banyak hasilkan lagu dengan nyanyian yang lebih santai. Waktu Ragaman keluar, ramai yang mempertikaikan muzik saya.

“Saya tak rasa diri saya sesuai menyanyikan lagu berunsur cinta, jiwang. Saya pun tak rasa isteri suka, nanti dia fikir saya buat lagu ini untuk siapa pula,” katanya.

Mengakui pernah terfikir untuk bersara daripada bidang nyanyian pada 2018, isterinya bagaimanapun menasihati anak kelahiran Kuala Lumpur itu untuk terus berkarya agar boleh berkongsi kebaikan kepada semua.

“Keluarga saya yang akan menentukan jenis lagu yang akan saya hasilkan. Saya tidak boleh seratus peratus ada masa bersama mereka. Jadi saya hasilkan lagu yang boleh anak saya kaitkan. Lebih ringan, ada unsur nasihat dan santai.

“Isteri saya menjadi antara individu yang kuat memberikan saya sokongan. Dia kata, selagi mana nyanyian saya boleh beri kebaikan kepada orang lain, saya tidak patut halang,” tambahnya.

Faizal Tahir ketika mengadakan persembahan One Night Only di Dewan Philharmonic PETRONAS, KLCC pada 30 November 2015. Foto Facebook Faizal Tahir

Hadiah konsert

Faizal Tahir baru mengadakan konsert pertamanya, Aku Faizal Tahir Live in Kuala Lumpur pada awal September lalu.

Namun ia mengundang kritikan apabila ramai yang mendakwa harga tiket serendah RM488 disifatkan sebagai mahal berbanding dengan harga tiket selebriti lain sebelum ini.

Tidak cepat melatah dengan kritikan, Faizal mendedahkan mempunyai hajat untuk mengadakan konsert besar-besaran secara percuma buat semua peminatnya sebelum bersara.

“Saya ada impian sebelum bersara nak beri satu konsert percuma. Saya tahu tidak mudah tapi kalau niat baik insya-Allah semua akan dipermudah.

“Tapi takut juga kalau jalan sesak atau ada orang merusuh pula. Banyak benda perlu dipertimbangkan. Jadi atau tidak impian itu, saya serahkan kepada takdir tapi niat itu sudah ada,” tambahnya.


Pengarang :