Peserta bergambar bersama ketika Sambutan Hari Palsi Serebrum Sedunia 2023 anjuran Gabungan Anak-anak Palsi Serebrum (GAPS) di The Barn, Tamarind Square, Cyberjaya, Sepang pada 7 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hari Palsi Serebrum jadi rujukan ibu bapa jaga anak OKU

SEPANG, 8 OKT: Sambutan Hari Palsi Serebrum 2023 sedunia anjuran Gabungan Anak-Anak Palsi Serebrum (GAPS) di Tamarind Square, Cyberjaya di sini semalam menjadi rujukan ibu bapa menjaga anak orang kelainan upaya (OKU).

Arif Mohd Hashim, 36, berkata kehadiran beliau dan isteri Syarifah Norafifah Ghulam Mohamad, 36, untuk mendapat bimbingan bagi membesarkan anak mereka Muhammad Sher Aziz Hakim, 3, yang mengalami gangguan saraf tersebut.

“Aktiviti menarik disediakan penganjur sesuai untuk anak kami. Ia jadi rujukan dan memberi ilmu baru yang akan membantu proses penjagaan anak saya,” katanya.

Muhammad Arif Mohd Hashim dan keluarga menghadiri Sambutan Hari Palsi Serebrum Sedunia 2023 anjuran Gabungan Anak-anak Palsi Serebrum (GAPS) di The Barn, Tamarind Square, Cyberjaya, Sepang pada 7 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Manakala Idayu Mokhtar, 31, berkata sambutan itu amat bermakna buat beliau dan anak, Nik Nur Fathia Nik Muhamad Adib Adhwa Mustaqim Syah, 6, yang menghidap palsi serebrum sejak lahir.

“Saya tidak mahu lepaskan peluang untuk hadiri sambutan seperti ini yang kali pertama diadakan. Ia memberi ruang kepada anak saya menunjukkan kegembiraanya memperagakan kostum animasi kegemaran beliau,” katanya.

Idayu Mokhtar dan anaknya, Nik Nur Fathia Nik Muhamad Adib Adhwa Mustaqim Syah pada Sambutan Hari Palsi Serebrum Sedunia 2023 anjuran Gabungan Anak-anak Palsi Serebrum (GAPS) di The Barn, Tamarind Square, Cyberjaya, Sepang pada 7 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, lebih 300 pengunjung hadir ke program yang dianjur dari jam 10 pagi yang dimulakan dengan pertandingan memperagakan kostum animasi, permainan boling, dam ular, bola baling dan sambut pundi kacang.

Presiden GAPS Rafidah Rafizah Ahmad

Turut diadakan pemeriksaan gigi percuma oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), trak Milo, sampel makanan percuma Adabi, persembahan artis berbakat John Tam dan pameran keusahawanan.

Presiden GAPS Rafidah Rafizah Ahmad berkata sambutan pada setiap 6 Oktober secara global bertujuan untuk memperingati dan menghargai mereka yang menghidap gangguan saraf tersebut.

“Saya harap usaha kami menganjurkan sambutan ini bukan sahaja membawa kegembiraan malah mewujudkan kesedaran mengenai palsi serebrum kepada orang awam,” katanya.


Pengarang :