Tokoh Ulama dari Pattani, Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni menyampaikan pengajian Kuliah Dhuha Talaqqi Kitab Turath Islami (Ihya’ Ulumuddin) Imam al-Ghazali sempena festival turath islami selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam pada 4 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Dua kitab dikupas ulama Pattani dalam talaqqi di Masjid Negeri esok

SHAH ALAM, 9 OKT: Dua kitab akan dikupas secara terperinci dalam program Talaqqi Kitab Turath Islami yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini mulai esok.

Menurut Facebook Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), huraian oleh ulama terkenal Pattani Baba Ismail Sepanjang al-Fathoni meliputi Ihya’ ‘Ulumuddin dan Mawaqif al-Marjan.

“Talaqqi ini merupakan pengajian kitab secara tradisi menggunakan pendekatan membaca perkataan demi perkataan, disertai huraian oleh tuan guru,” jelas agensi itu.

IBDE memaklumkan Kitab Ilmu Jilid 1 daripada Kitab Ihya Ulumuddin, terjemahan bahasa Melayu yang pertama di Malaysia turut dijual dalam program yang berlangsung selama dua hari.

Menurut agensi itu, kupasan kitab akan diadakan pada sesi dhuha jam 8.45 hingga 11.30 pagi (10 Oktober), manakala sesi isyak dari 8.30 hingga 11 malam (10 dan 11 Oktober).

Program keagamaan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk pejabat Dato’ Menteri Besar merupakan kesinambungan Festival Turath Islami Selangor yang dianjurkan pada 20 Mei lalu.

Ia bertujuan menyemarak lagi minat umat Islam terhadap pemikiran al-Ghazali, ilmuan Islam pelbagai bidang yang berpengaruh ke serata dunia.


Pengarang :