Pengguna Bas Smart Selangor mengimbas kod QR aplikasi CEPat dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan menjaga jarak sebelum menaiki pengangkutan awam itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun, Shah Alam pada 1 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Laluan Bas Smart Selangor dikaji semula, tingkat kualiti pengangkutan awam

SHAH ALAM, 10 OKT: Kerajaan Negeri mengkaji semula laluan Bas Smart Selangor untuk diselaraskan dalam perancangan Kementerian Pengangkutan sekali gus meningkatkan kualiti pengangkutan awam di Lembah Klang.

EXCO mobiliti berkata penelitian semula itu turut merangkumi penggunaan van transit atas permintaan (Van DRT) bagi menggantikan Bas Smart Selangor di kawasan berkepadatan tinggi dan laluan sempit pada masa depan.

“Ketika ini, sistem Van DRT berperanan mengangkut penumpang di kawasan hab pengangkutan awam dengan tujuan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam yang utama seperti rel dan bas.

“Kajian laluan Bas Smart Selangor juga meliputi penambahbaikan ekosistem perbatuan pertama dan terakhir, laluan pejalan kaki yang selesa, mikromobiliti seperti e-scooter dan basikal elektrik.

“Dengan usaha ini, kita berharap sistem pengangkutan awam akan menjadi pilihan utama rakyat Selangor selaras dengan sasaran 60 peratus pengguna menggunakan pengangkutan awam menjelang 2030 ,” kata Ng Sze Han menerusi kenyataan.

EXCO pengangkutan Awam Ng Sze Han bersama Ketua Pegawai Eksekutif Badan Bas Coach Sdn Bhd Ibrahim Aiman Mohd Nadzmi bergambar di hadapan van transit atas permintaan (DRT) Mobi di SS15 Subang Jaya pada 21 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Dalam pada itu, beliau berkata setakat ini terdapat 50 laluan Bas Smart Selangor dengan 166 bas beroperasi sejak perkhidmatan itu diperkenal pada 2016.

“Sejak perkhidmatan bas percuma diperkenal, lebih 60 juta penumpang menerima manfaat dengan jumlah peruntukan RM169.5 juta ringgit telah dibelanjakan Kerajaan Negeri,” katanya.

Menerusi Belanjawan Selangor 2023, Dato’ Menteri Besar memaklumkan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM25 juta bagi memperkasa pengangkutan awam bawah program Selangor Mobiliti.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak RM22 juta diberi kepada 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk meneruskan pelaksanaan Bas Smart Selangor manakala RM3 juta lagi bagi pelaksanaan Selangor Mobiliti Fasa Pertama yang merangkumi perkhidmatan Van DRT.

EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Badanbas Coach Sdn Bhd Ibrahim Aiman Mohd Nadzmi menunjukkan aplikasi Mobi bagi van transit atas permintaan (DRT) di SS15 Subang Jaya pada 21 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :