Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Ir Abas Abdullah (tiga kiri) bersama pihak media melawat tapak projek pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Langat pada 5 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerja senggara aset LRA Sungai Langat jangka siap 9 malam

SHAH ALAM, 10 OKT: Kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat mengalami sedikit kelewatan dan dijangka siap jam 9 malam ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan kelewatan itu tidak menjejaskan pemulihan penuh bekalan air kepada pengguna di kawasan terjejas di Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat.

“Sehingga jam 7 malam, status pemulihan bekalan air di kawasan terjejas mencapai 24.5 peratus.

“Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat kepada pengguna setelah sistem bekalan air distabilkan dan dijangka pulih sepenuhnya di semua kawasan terjejas pada Khamis jam 12 tengah hari,” katanya dalam kenyataan.

Air Selangor juga menyarankan pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

Maklumat berhubung gangguan bekalan air boleh dicapai menerusi aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor atau saluran komunikasi rasmi http://waterupdates.airselangor.com

Terdahulu, Air Selangor memaklumkan berlaku gangguan bekalan air berjadual di Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat susulan pelaksanaan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset di LRA Sungai Langat pada hari ini.


Pengarang :