AGENDAJENAYAH

Polis siasat video tular lelaki dipukul ketika dalam tahanan

SHAH ALAM, 11 OKT: Polis menyiasat video tular memaparkan seorang lelaki yang didakwa dipukul ketika berada dalam tahanan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Klang Selatan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata siasatan itu dijalankan berikutan penularan video berkenaan 8 pagi tadi menerusi aplikasi Telegram Edisi Siasat.

Cha berkata semakan lanjut pihaknya mendapati kejadian itu berlaku di BSJND Klang Selatan pada 10.30 pagi, 2 Ogos 2022, bersabit satu laporan tangkapan polis pada 12.50 tengah malam hari sama dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“OKT (orang kena tahan) itu telah dituduh di Mahkamah Klang pada 8 Ogos 2022 di bawah Seksyen 39B ADB 1952 tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Cha berkata pihaknya memandang serius kejadian itu dan siasatan dijalankan ke atas aduan salah laku yang dipaparkan dalam video tular tersebut.

“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan pegawai kanan atau anggota polis yang didapati melanggar peraturan.

“Kita turut memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara telus dan adil tanpa melindungi mana-mana pihak dan polis meminta kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :