Penduduk Palestin meninggalkan kediaman masing-masing susulan serangan Israel di selatan Semenanjung Gaza pada 8 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Menteri: Tindakan Israel biadab, tidak bertanggungjawab, seru masjid adakan solat hajat

PUTRAJAYA, 11 OKT: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan serangan Israel ke atas Gaza, Palestin sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan orang awam termasuk kanak-kanak, kata Menterinya Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

“Tindakan Israel adalah biadab serta tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan berkaitan solidariti bersama umat Islam di Gaza yang dikeluarkan hari ini, yang turut menyeru seluruh rakyat termasuk masyarakat dunia untuk mengutuk tindakan Israel dan menggesa agar serangan dihentikan.

Sebagai tanda solidariti kepada umat Islam di Palestin, Mohd Na’im berkata masjid utama seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) iaitu Masjid Negara di Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini telah diarahkan untuk membacakan teks khutbah Jumaat bertemakan “Solidariti Bersama Umat Islam Palestin”.

Beliau berkata masjid dan surau Jumaat di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan turut diminta melaksanakan perkara yang sama.

“Selain itu, solat hajat dan bacaan doa Qunut Nazilah akan dilaksanakan selepas solat Jumaat di masjid utama Jakim termasuk seluruh masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Beliau turut menyeru majlis dan jabatan agama Islam negeri untuk bersama-sama membacakan teks khutbah Jumaat bertemakan isu Palestin dan melaksanakan solat hajat serta bacaan doa Qunut Nazilah di masjid dan surau Jumaat masing-masing.

“Marilah bersama-sama kita mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kepada saudara kita di Palestin,” katanya dan menambah Jakim juga akan melancarkan kutipan khas untuk membantu umat Islam di Palestin sebagai tanda kebersamaan dan kesatuan.

– BERNAMA


Pengarang :