Najwan (tengah) pada majlis perasmian SELBIZ 2023 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini, 7 Oktober lalu. Beliau diiringi Mahmud (dua, kiri).
AGENDANASIONAL

SELBIZ medan pemberdayaan usahawan

Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM

SHAH ALAM, 12 OKT: Ekspo Usahawan Selangor 2023 (SELBIZ 2023) menjadi medan pemberdayaan usahawan, sekali gus memperkukuh ekosistem keusahawanan kondusif dan holistik di negara ini.

SELBIZ yang padat dengan pelbagai pengisian memberi peluang kepada usahawan meneroka dan memanfaatkan jaringan sesama mereka serta agensi keusahawanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Dato’ Mahmud Abbas berkata, memasuki tahun kedua penganjuran, SELBIZ semakin berkembang dengan penglibatan lebih ramai usahawan daripada pelbagai industri termasuk pembuatan, peruncitan dan perkhidmatan.

“Tahun lalu hanya 149 usahawan, tahun ini terdapat 200 usahawan yang mempromosikan produk mereka di 200 reruai jualan sepanjang tiga hari penganjuran.

“SELBIZ adalah salah satu platform yang disediakan oleh PKNS untuk usahawan berkembang dalam perniagaan mereka bukan saja di Selangor dan Malaysia malah di luar negara,” katanya kepada Selangorkini.

Ketua PegawaiEksekutif PKNS Dato’ Mahmud Abbas

Beliau ditemui selepas perasmian SELBIZ 2023 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini pada 7 Oktober lalu. Majlis dirasmikan oleh EXCO Keusahawanan, Najwan Halimi.

Mengulas lanjut, kata Mahmud SELBIZ 2023 bukan sahaja memberi peluang kepada usahawan Mempromosikan produk malah meluaskan pasaran perniagaan ke peringkat lebih tinggi menerusi padanan perniagaan.

“Usahawan berpeluang menjual produk mereka kepada orang ramai dalam skala lebih luas melalui padan perniagaan yang melibatkan agensi dan pasar raya seperti Matrade, SME Corp, Agrobank, AEON Big dan Mydin.

“Mereka yang mengambil bahagian juga boleh meluaskan jaringan, mengenal satu sama lain dan belajar daripada kaunselor keusahawanan di Klinik Usahawan Selangor,” katanya.

Jelasnya, selain pertambahan penyertaan usahawan terdapat perkembangan memberangsangkan bagi SELBIZ 2023 seperti persembahan produk yang lebih menarik dan berpotensi untuk dieksport.

“Saya juga sungguh teruja dengan budaya usahawan kini yang saling menyokong antara satu sama lain dan tidak lokek berkongsi ilmu. Ekosistem keusahawanan sihat seperti ini menggalakkan perkembangan dan menjana usahawan berjaya,” katanya.

Selain itu katanya, sasaran SELBIZ bukan sekadar mempromosi dan memasarkan produk usahawan tetapi melahirkan pelopor usahawan yang berjaya dalam bidang masing-masing.

Saiful Bahari Zainal Abidin dan Zarini Ghazali menunjukkan produk sos minah Hassan
ketika Ekspo Usahawan Selangor 2023

“PKNS ini bukan saja untuk usahawan tetapi kita membina Selangor dan Malaysia. Kita mahu melahirkan usahawan yang maju dalam bidang masing-masing.

“Mereka ini yang akan mewujudkan peluang pekerjaan, membayar cukai, sewa pejabat dan pelbagai lagi yang menyebabkan ekonomi kita berkembang. Semua ini bermula dengan asas iaitu kita beri pendidikan dan peluang kepada mereka,” katanya.

Justeru Mahmud berkata, SELBIZ pada tahun depan disasarkan dalam skala lebih besar bagi memberi peluang kepada lebih ramai usahawan untuk menyertainya.

*************************************************************************

SELBIZ 2023 sasar potensi jualan lebih RM1 juta

SHAH ALAM, 12 OKT: Ekspo Usahawan Selangor 2023 (SELBIZ 2023)  memasuki edisi kedua tahun ini
dengan 200 usahawan pelbagai industri terlibat.

Kali ini, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan kehadiran 15,000 pengunjung dengan sasaran potensi jualan lebih RM1 juta.

PKNS menerusi satu kenyataan media berkata, sepanjang tiga hari penganjuran ia menjadi medan kepada usahawan mempromosikan jenama produk masing-masing selain berpeluang meluaskan pasaran perniagaan ke peringkat lebih tinggi.

SELBIZ 2023 merupakan platform terbaik bagi usahawan seluruh negeri Selangor meluaskan jaringan perniagaan, mencari peluang perniagaan baharu dan menambah pengetahuan dalam industri keusahawanan.

EXCO Keusahawanan, Najwan Halimi dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’
Mahmud Abbas meninjau reruai Kopi Sik Liberica pada  SELBIZ 2023 anjuran PKNS di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam

Ia melibatkan 200 reruai jualan daripada pelbagai industri usahawan antaranya pembuatan, peruncitan dan perkhidmatan yang memberi peluang kepada pemain industri itu meningkatkan jaringan perniagaan menerusi kaedah perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan perniagaan kepada pelanggan (B2).

PKNS memaklumkan, agensi keusahawanan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Selangor Youth Community (SAY) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) turut mengambil bahagian.

Selain itu, perbadanan ekonomi negeri seperti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) turut mengambil bahagian.

Usahawan atau bakal usahawan turut berpeluang menerima khidmat nasihat dan bimbingan menerusi Klinik Usahawan Selangor yang disediakan secara percuma dengan lima kaunselor keusahawanan ditempatkan bertugas setiap hari sepanjang acara berlangsung pada 6 hingga 8 Oktober lalu.

Selain itu, sebagai agensi pembangunan perumahan negeri Selangor, PKNS turut membuka peluang kepada mereka yang berminat mendapatkan rumah pertama menerusi Pameran Rumah Selangorku.

SELBIZ 2023 telah dirasmikan oleh EXCO Keusahawanan, Najwan Halimi di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) pada 7 Oktober.

SELBIZ 2023 berakhir dengan jayanya menerusi pelbagai tarikan termasuk festival kendera saji (food truck), pesta kopi, larian santai serta konsert Gempak@SELBIZ yang menampilkan artis popular termasuk Tomok, Ernie Zakri, Amir Masdi, Floor 88 dan Ara Johari.


Pengarang :