PBTSELANGOR

MBSA anjur Pasar Bunga dan Pameran Anggerik mulai 25 hingga 29 Oktober

SHAH ALAM, 12 OKT: Orang ramai dijemput untuk berkunjung ke Pasar Bunga dan Pameran Anggerik Shah Alam yang dijadual berlangsung pada 25 hingga 29 Oktober ini.

Bertempat di pekarangan tempat letak kenderaan Taman Persahabatan Selangor Jepun, Seksyen 14 di sini, program anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dibuka dari 9 pagi hingga 8.30 malam.

“Orang ramai dijemput hadir untuk membeli atau melihat sendiri kecantikan dan keunikan pelbagai jenis pokok dan bunga yang dipamerkan sepanjang pasar itu berlangsung,” maklum MBSA menerusi Facebook.

Selain jualan dan pameran bunga, turut diadakan pelbagai aktiviti menarik antaranya mencanting batik, memancing ikan khas untuk kanak-kanak, sesi bual bicara profesional dan kendera saji.

Selain pasar bunga, MBSA turut menganjurkan pelbagai program dan aktiviti sepanjang Oktober ini sempena ulangtahun bandaraya Shah Alam yang ke-23.

Antara program menarik adalah kejohanan sepak takraw Piala Datuk Bandar, bicara ilmuwan, Shah Alam Berselawat, kejohanan catur, pertandingan memancing, Shah Alam Xciting Race dan kejohanan kayak.

Untuk sebarang maklumat berhubung waktu dan lokasi setiap aktiviti boleh melayari Facebook atau laman sesawang Majlis Bandaraya Shah Alam.


Pengarang :