AGENSISELANGOR

Lesen perniagaan MPAJ 2024 boleh diperbaharui mulai bulan ini

SHAH ALAM, 12 OKT: Pemilik premis perniagaan dan penjaja sekitar kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) boleh mula memohon lesen 2024 bermula 1 Oktober hingga 31 Disember ini.

MPAJ menerusi kenyataan memaklumkan permohonan boleh dibuat pada hari bekerja di Kaunter Pembaharuan Lesen Premis Perniagaan dan Penjaja, Galeri aras empat, Menara MPAJ, Ampang.

Kaunter bagi tujuan sama turut dibuka di aras satu pusat membeli-belah Melawati Mall bermula bulan depan hingga hujung Disember dari 10 pagi hingga 5 petang setiap hari.

“Pemilik serta penyewa premis perniagaan diingatkan menjelaskan cukai taksiran termasuk semua tunggakan sebelum memperbaharui lesen bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

“Sekatan bagi sebarang perkhidmatan MPAJ termasuk pembaharuan lesen perniagaan dilaksanakan melalui Sistem Kelulusan Bersepadu secara manual mulai 1 Oktober lalu sekiranya terdapat tunggakan cukai taksiran,” katanya.

Permohonan juga boleh dibuat secara dalam talian menerusi iComm di pautan https://icomm.mpaj.gov.my, melalui sistem e-penjaja di pautan https://intranet.mpaj.gov.my/penjaja/login.php

Untuk pertanyaan atau maklumat lanjut, hubungi Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Usahawan MPAJ menerusi talian 03-4285 7344 / 7170.


Pengarang :