SHAH ALAM, 12 OKT: Amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dikeluarkan melibatkan seluruh kawasan di Selangor hingga 6 petang ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) di Facebook memaklumkan cuaca sama diramal melanda Kuala Lumpur, Putrajaya, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Cuaca sama turut berlaku di beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Sabah dan Sarawak.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.