Suasana sekitar majlis penutup Karnival Kanak-kanak Negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa Shah Alam pada 28 Mei 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Karnival anak Selangor sihat Sabtu ini saji pelbagai aktiviti, saringan percuma

SHAH ALAM, 12 OKT: Pelbagai aktiviti menarik termasuk saringan kesihatan kanak-kanak percuma menanti pengunjung Karnival Anak Selangor Anak Sihat anjuran Kerajaan Negeri Sabtu ini.

Ahli Penasihat Kesihatan Awam Negeri berkata karnival anjuran bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dijadual berlangsung di Sekolah Kebangsaan Jalan Batu Tiga, Taman Eng Ann Klang mulai 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Menurut Dr Mohammad Farhan Rusli, penganjuran karnival berkenaan bertujuan mendedahkan ibu bapa terhadap kepentingan menjaga pemakanan yang seimbang dan bernutrisi kepada anak-anak.

“Antara pengisian program ini termasuklah kaunseling pemakanan dan minda sihat, pameran kesihatan serta saringan kesihatan untuk kanak-kanak secara percuma,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Tambahnya, karnival tersebut turut menyajikan persembahan kebudayaan, permainan interaktif dan pertandingan mewarna khusus kepada kanak-kanak.

“Kita juga mengadakan pertandingan gusti lengan untuk usia tujuh hingga 12 tahun dan lompat tali. Selain itu, pengunjung yang hadir berpeluang memenangi cabutan bertuah.

“Oleh itu, orang ramai dijemput hadir memeriahkan karnival yang pasti memberi pendekatan kepada ibu-bapa dan juga anak-anak,” jelasnya.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin dijadual hadir bagi menyempurnakan majlis perasmian karnival berkenaan.


Pengarang :