SHAH ALAM, 12 OKT: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramal melanda lima daerah di Selangor sehingga 9 malam ini menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Agensi itu memaklumkan daerah berkenaan adalah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat.
Cuaca sama turut diramal berlaku di seluruh Perlis dan Kuala Lumpur selain beberapa daerah di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah.
Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.