Stesen LRT Bukit Jalil. Foto laman web klia2.info
AGENDANASIONAL

Pembinaan lima stesen LRT3 diteruskan, kos RM4.7 bilion

SHAH ALAM, 13 OKT: Kerajaan bersetuju meneruskan semula cadangan pembinaan lima stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang dibatalkan sebelum ini.

Perdana menteri berkata pembinaan stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik dijangka melengkapi dan menambah baik jaringan pengangkutan awam sekitar Lembah Klang.

“Pengekalan stesen ini akan memanfaatkan dua juta penduduk dengan kos sebanyak RM4.7 bilion,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 hari ini.

Projek pembinaan LRT3 yang bermula di Bandar Utama dan berakhir di Johan Setia dengan melibatkan belanja RM16 bilion dijangka memulakan operasi pada 1 Mac 2025.

Julai lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata projek LRT3 memiliki 22 set tren tiga koc mampu menampung 18,630 penumpang bagi setiap jam.

Projek itu juga akan memiliki dua stesen pertukaran iaitu di Bandar Utama yang menghubungkan laluan MRT Kajang Line ke LRT3 dan Glenmarie, menghubungkan antara Kelana Jaya Line dengan LRT3.

 


Pengarang :