Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa meninjau persiapan akhir Belanjawan 2024 di Kementerian Kewangan pada 12 Oktober 2023. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Subsidi bersasar berkesan elak dana terbuang akibat ketidaktentuan global

SHAH ALAM, 14 OKT: Pemindahan subsidi bersasar kepada rakyat yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024 dilihat lebih cekap.

Pengurus Kanan Penyelidikan Institut Darul Ehsan (IDE) Khairul Arifin Mohd Munir berkata langkah itu mampu mengelak pembuangan dana menerusi ketidaktentuan global dan sebaliknya ia terus sampai kepada rakyat.

“Pengukuhan ekosistem ekonomi manusiawi yang menyeluruh dengan bermula memperbaiki, pengupayaan dan pemberdayaan rakyat akan membantu pengukuhan sosio ekonomi rakyat seperti bantuan tunai keluarga B40 termasuk bantuan runcit Sumbangan Asas Rahmah (SARA) setiap bulan bagi membantu miskin tegar.

“Amatlah wajar ahli politik dan parti politik mengembleng tenaga bersama-sama bantu rakyat mendepani cabaran ekonomi zaman sukar dan cabaran pascanormal dalam kehidupan kini,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 semalam, Perdana Menteri mengumumkan perbelajaan subsidi dan bantuan dipertingkatkan daripada RM64 bilion kepada RM81 bilion sebagai langkah mengekalkan harga barangan.

Beliau berkata mulai tahun depan pendekatan penyasaran semula subsidi akan dilaksanakan secara berfasa yang mana hasil penjimatan itu akan disalurkan menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion.

Kadar maksimum STR akan meningkat daripada RM3,100 kepada RM3,700 manakala kadar minimum STR untuk belia meningkat daripada RM350 kepada RM500.

Pemberian SARA pula akan diperluaskan kepada 700,000 penerima dengan nilai RM100 sebulan bagi tempoh 12 bulan.


Pengarang :