Kanak-kanak membuat persembahan teater bertajuk ‘Suara’ sempena majlis penganugerahan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Hotel Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya pada 13 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri perkenal pelbagai inisiatif, tangani masalah berkait kanak-kanak

PETALING JAYA, 14 OKT: Kerajaan Selangor memperkenal pelbagai inisiatif bagi menangani masalah yang timbul dalam kalangan kanak-kanak terutama ketika pandemik Covid-19.

EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata inisiatif itu terkandung bawah Iltizam Selangor Penyayang dan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin.

Beliau menjelaskan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, kanak-kanak menerima dampak ekoran penularan wabak yang mengundang pelbagai isu.

“Isu yang masih belum dapat diselesaikan secara menyeluruh merangkumi aspek penjagaan awal, pendidikan, kesihatan, komunikasi dan kepimpinan.

“Kerajaan Negeri mewujudkan pelbagai program supaya jurang yang timbul dalam kalangan kanak-kanak dapat ditangani secara tuntas,” katanya di Hotel Royal Chulan Damansara di sini, semalam.

Berucap sempena majlis penganugerahan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak hari ini, beliau berkata Kerajaan Negeri prihatin dengan kesejahteraan dan kepentingan golongan terbabit.

“Selangor dikenali sebagai negeri termaju dengan kepesatan pembangunan ekonomi diseimbangi peningkatan jumlah penduduk saban tahin.

“Dengan populasi tujuh juta penduduk, kebajikan dan pembangunan sosial menjadi titik tumpuan utama pentadbiran ini terutama berhubung keperluan dan kesejahteraan kanak-kanak,” katanya.


Pengarang :