Kakitangan syarikat penyelenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) giat melaksanakan kerja baik pulih dan menurap Jalan Cross Ban 1, Sabak Bernam pada 8 Ogos 2023. Foto Twitter Infrasel
AGENDANASIONAL

Belanjawan 2024: Naik taraf jalan luar bandar mampu tingkat sosio ekonomi penduduk

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Peruntukan RM1.63 bilion dalam Belanjawan 2024 bagi membina dan menaik taraf jalan kampung dan desa dilihat mampu meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk luar bandar serta mengurangkan jurang kemiskinan secara progresif.

Pensyarah kanan Kolej Pengajian Alam Bina Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam Dr Muhammad Azwan Sulaiman ketika dihubungi berkata sistem pengangkutan yang baik biasanya dapat meningkatkan kesalinghubungan antara penduduk luar bandar dan desa dengan bandar terdekat, yang akhirnya turut meningkatkan perkembangan mikro ekonomi penduduk setempat.

“Belanjawan kali ini jelas menampakkan betapa kerajaan cukup fokus bagi menaik taraf kehidupan penduduk luar bandar. Bukan sahaja terdapat peruntukan naik taraf dan bina jalan, namun terdapat juga banyak peruntukan lain.

“Ini termasuklah beberapa peruntukan bagi membaik pulih kemudahan asas yang lain seperti jambatan uzur, sistem bekalan air bersih dan sebagainya. Apabila semua ini dapat dilaksanakan, ia mampu memberi kesan positif terhadap tahap kualiti kehidupan penduduk desa secara menyeluruh,” jelasnya.

Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat Jumaat lepas antara lain turut menyaksikan peruntukan RM134 juta bagi memasang 60,000 unit lampu jalan kampung.

Namun begitu, Muhammad Azwan turut mencadangkan supaya kerajaan memberi fokus yang seimbang terhadap pembangunan dan penambahbaikan sistem perparitan di kawasan luar bandar.

Ini kerana jelasnya, penaiktarafan sistem perparitan ke tahap yang lebih sistematik dan berpusat amatlah diperlukan masyarakat luar bandar, memandangkan keadaan perubahan cuaca ekstrem membuatkan perparitan sedia ada tidak mampu menanggung kesan kerosakan akibat banjir ataupun hakisan tanah.

“Kita perlu faham sistem perparitan di luar bandar tidak begitu efektif bagi menangani kesan perubahan cuaca. Biasanya jalan di kampung atau desa dibina bersebelahan parit, sekiranya parit tidak mampu alirkan air hujan ke sungai terdekat dengan baik, banjir kilat mudah berlaku sehingga merosakkan jalan raya ini,” katanya lagi.

Sementara itu, penyediaan RM2.6 bilion dalam bentuk subsidi dan insentif kepada pesawah dan nelayan menerusi Belanjawan 2024 disifatkan datang tepat pada masanya.

Profesor Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Norsida Man berkata peruntukan itu perlu dimanfaatkan sebaiknya demi membantu golongan berkenaan menangani cabaran semasa perubahan iklim yang tidak menentu selain isu peningkatan kos sara hidup.

Norsida turut mengambil contoh keputusan kerajaan yang bersetuju menaikkan kadar Skim Subsidi Harga Padi daripada RM360 kepada RM500 per tan metrik, dan beliau melihat perkara itu mampu meringankan beban petani khususnya membabitkan pembelian input seperti benih, baja dan racun.

“Menerusi peruntukan subsidi dan insentif ini juga, kerajaan boleh memberi fokus untuk mengaplikasi teknologi dalam pertanian selain memberi kontrak tanah kepada petani untuk menggalakkan mereka mengusaha tanaman secara pintar. Secara tidak langsung ia akan meningkatkan kecekapan petani serta membantu mereka mendepani cabaran perubahan iklim termasuklah hujan lebat, banjir dan fenomena El-Nino,” katanya.

Menerusi belanjawan itu, sejumlah RM50 juta turut disediakan di bawah Tabung Bencana Pertanian bagi memberi pampasan sehingga 50 peratus daripada nilai kerugian akibat bencana alam.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan dapat menitikberatkan kompetensi pegawai pengembangan pertanian menerusi kursus dan pembinaan kapasiti demi meningkatkan kemahiran mereka bagi memahami masalah petani seterusnya mampu menyelesaikan isu yang dihadapi pemain industri pertanian.

– BERNAMA


Pengarang :