Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan ke program Pinky Fun Run sempena Hari Tanpa Kenderaan Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Padang Sultan Suleiman, Klang pada 15 Oktober 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Tengku Permaisuri Selangor sertai larian sempena Hari Tanpa Kenderaan MPK

KLANG, 15 OKT: Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor berkenan ke program Pinky Fun Run sempena Hari Tanpa Kenderaan Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Padang Sultan Suleiman pagi tadi.

Keberangkatan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin disambut EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi dan Yang Dipertua MPK Noraini Roslan.

Baginda turut berkenan menyertai larian tiga kilometer serta melawat khemah pameran seperti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan Hospital Pantai.

Noraini ditemui pada program tersebut berkata sambutan hari tanpa kenderaan pada bulan ini disambut meriah dengan kehadiran lebih 1,000 peserta pelbagai peringkat umur.

“Pada program kali ini kita bekerjasama dengan Klinik Kesihatan Bukit Kuda sempena bulan kesedaran kanser payudara selain meraikan rakan-rakan yang bertarung melawan penyakit.

“Malah, kita juga mahu beri kesedaran kepada penduduk Klang tentang kesedaran pentingnya pengesanan kanser payudara di peringkat awal,” katanya.


Pengarang :