PBTSELANGOR

Pertandingan memancing MBSA tawar hadiah wang tunai lebih RM50,000

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 18 OKT: Orang ramai dijemput menyertai pertandingan memancing Shah Alam 2023 yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM50,000 di Taman Tasik Shah Alam, Ahad ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Shahrin Ahmad berkata pertandingan dijadual berlangsung 8 pagi hingga 12 tengah hari itu dianjur sempena sambutan ulang tahun bandar raya tersebut yang ke-23.

“Kita mempelawa kaki pancing menyertai pertandingan ini memandangkan Tasik Shah Alam hanya dibuka untuk pertandingan memancing setahun sekali. Pada tahun ini kita sasarkan kira-kira 1,000 penyertaan.

“Pertandingan menyediakan hadiah wang tunai untuk 15 peserta dengan johan akan membawa pulang RM23,000, tempat kedua (RM15,000), tempat ketiga (RM10,000) manakala hadiah saguhati bernilai RM200 bagi tempat keempat hingga ke-15,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya pertandingan itu mengenakan yuran penyertaan berjumlah RM100 setiap joran dengan 300 peserta terawal akan menerima baju-T percuma selain menyediakan 20 hadiah cabutan bertuah.

Shahrin berkata antara spesies ikan yang sediakan adalah patin, rohu, tongsan, jelawat dan pacu. Borang dan syarat penyertaan boleh dimuat turun di www.mbsa.gov.my atau mengimbas kod QR yang disediakan.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi Jabatan Landskap MBSA ditalian 03-55105133 sambungan 1660, 1284 atau 1215.


Pengarang :