Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua kanan) melakukan gimik simbolik perasmian majlis pecah tanah pembinaan kemudahan Sisa kepada Tenaga (Waste-To-Energy (WTE) Jeram diantara Worldwide Holdings Berhad (WHB), dengan kerjasama Shanghai Electric Power Generation (M) Sdn Bhd (Shanghai Electric) di tapak pelupusan Sanitari Jeram pada 17 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Loji sisa kepada tenaga hasilkan elektrik untuk 200,000 unit rumah

SHAH ALAM, 18 OKT: Projek loji sisa kepada tenaga (WTE) yang dibina di Jeram, Kuala Selangor bakal menghasilkan elektrik untuk 200,000 unit rumah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata loji pertama negeri yang dijangka beroperasi 2026 itu merupakan ikhtiar pentadbirannya dalam memastikan Selangor diurus mampan dan berhemah.

“Usaha dijalankan Worldwide Holdings bersama Shanghai Electric Engineering dapat menguruskan sisa domestik yang mampu diubah untuk menghasilkan tenaga bagi 200,000 unit rumah,” katanya di Facebook.

Amirudin berkata teknologi WTE itu akan mengurus 3,000 tan daripada keseluruhan 7,000 tan sisa domestik yang dihasilkan setiap hari oleh rakyat negeri ini.

“Kita kena memikirkan keseluruhan sistem pengurusan sisa bermula dari jenis bahan yang diguna, cara membuang sampah dan mengitar semula di rumah serta beralih daripada bahan sekali guna supaya dapat menawarkan peluang pekerjaan kepada pengutip sisa serta operator di loji-loji janakuasa,”katanya.

Ketika majlis pecah tanah semalam, Amirudin berkata projek menjamin pemuliharaan alam sekitar selain merangsang peluang ekonomi dan tenaga terhasil akan dijual kepada Tenaga Nasional Berhad.


Pengarang :