Timbalan Setiausaha (Operasi) Mais Norzaihan Mohd Zain (tengah) bergambar bersama pelatih Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan yang menerima anugerah sempena Majlis Apresiasi Pelatih Baitul Ehsan di Sabak Bernam pada 19 Oktober 2023. Foto Facebook Majlis Agama Islam Selangor
AGENSISELANGOR

317 pelatih rumah perlindungan wanita Mais berjaya dipulihkan sejak 2018 

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 19 OKT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menerusi Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan berjaya memulihkan 317 pelatih sepanjang lima tahun sejak 2018.

Mais memaklumkan pencapaian itu membuktikan kesungguhan pusat berkenaan membimbing golongan wanita yang terlibat dengan gejala sosial kembali ke pangkal jalan.

“Pelbagai program dilaksanakan setiap tahun khusus kepada pelatih yang terlibat dengan gejala sosial dan akidah bagi melancarkan proses pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan dan kawalan.

“Mais berharap masyarakat turut memberikan sokongan kepada mereka agar dapat istiqamah berubah ke arah yang lebih baik untuk mereka kekal di jalan yang benar,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, seramai 22 pelatih yang berjaya dalam bidang akademik, kemahiran dan sahsiah diraikan dalam Majlis Apresiasi Pelatih Baitul Ehsan di pusat berkenaan di Sabak Bernam.

Majlis yang disempurnakan Timbalan Setiausaha (Operasi) Mais Norzaihan Mohd Zain turut memberi penghargaan kepada 26 guru yang bertungkus-lumus membimbing pelatih sehingga berjaya.

Selain Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan di Sabak Bernam, Mais turut memiliki Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman dan Pusat Pemulihan Dadah Baitul Islah serta 32 rumah pemulihan ar-Riqab (RPR) yang berperanan membantu pemulihan mereka yang mengalami masalah sosial dan akidah dari pelbagai kategori.


Pengarang :