Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Simposium Pra-Pelancaran Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 7 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Firma hartanah: Lonjakan luar biasa sektor pembuatan hasil RS-1

SHAH ALAM, 19 OKT: Pertumbuhan yang luar biasa dalam pelaburan bagi sektor pembuatan di Selangor tahun ini boleh dikaitkan dengan pelaksanaan dan penguatkuasaan Rancangan Selangor Pertama 2021-2025 (RS-1), menurut Knight Frank Malaysia.

Pada separuh pertama tahun ini, negeri itu merekodkan pelaburan bernilai RM14.75 bilion dalam sektor pembuatan, lebih tinggi berbanding RM5.13 bilion yang dicapai bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Pengarah Eksekutif Penyelidikan dan Perundingannya, Amy Wong berkata inisiatif yang berfikir ke hadapan itu bukan sahaja telah menarik lebih banyak peluang pelaburan tetapi juga menyediakan infrastruktur kalis masa depan untuk bakal pelabur.

“Dengan adanya RS-1, Selangor bersedia untuk menjadi magnet bagi pembangunan perindustrian, menawarkan persekitaran yang kondusif untuk perniagaan berkembang maju,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di bawah RS-1 yang dilancarkan tahun lepas, Kerajaan Negeri telah mengenal pasti sembilan industri tumpuan yang berimpak tinggi bagi memacu dan mengukuhkan pembangunan ekonomi Selangor, iaitu pelabuhan dan logistik, ekonomi digital, aeroangkasa, elektrik dan elektronik, mekanikal dan kejuruteraan, halal, automotif, sains hayat, pelancongan dan agroteknologi.

“Usaha untuk mengukuhkan sembilan sektor tumpuan akan didorong oleh empat strategi utama, memudahkan pemulihan ekonomi selepas Covid-19, mengukuhkan industri teras strategik, memangkin pembangunan sektor baharu dan yang sedang pesat membangun serta meningkatkan daya saing negeri,” katanya.

Beliau menambah, ini akan disokong oleh pelbagai projek, program dan inisiatif yang akan dibangunkan berdasarkan isu dan cabaran semasa yang dihadapi.

Knight Frank yang bertapak kukuh di Malaysia menawarkan nasihat dan penyelesaian profesional berkualiti tinggi merentasi portfolio perkhidmatan hartanah yang komprehensif.

– BERNAMA


Pengarang :