Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Persidangan Perniagaan Asean Selangor Ke-7 (SABC) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 19 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Potensi ekonomi mengukuh, Asean tidak perlu lagi jadi proksi barat

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Sudah tiba masanya negara Asean bergerak sebagai blok baharu yang disegani dunia dan tidak lagi menjadi proksi Barat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia berikutan Asean mencatat pertumbuhan ekonomi memberangsangkan iaitu 5.7 peratus berbanding purata global hanya 3.4 peratus.

“Ini adalah cerminan kekuatan, daya tahan dan semangat Asean. Saya percaya kita boleh buktikan kepada dunia bahawa kemajuan demokrasi dan pertumbuhan ekonomi boleh berjalan seiring.

“Kita juga mempunyai teras dan kekuatan semula jadi. Pada masa yang sama, saya percaya perlu ada lebih banyak kerjasama dan perkongsian dibangunkan dalam Asean,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Persidangan Perniagaan Asean Selangor Ke-7 (SABC) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 19 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perniagaan Asean Selangor Ke-7 (SABC) 2023 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

SABC merupakan sebahagian daripada enam acara utama dalam Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 yang membuka tirainya hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata penganjuran SABC merupakan peluang kepada negara Asean berbincang dan membangunkan strategi baharu dalam pelbagai bidang.

“Kita perlu melakukan lebih banyak lagi. Inilah sebabnya Selangor berminat untuk menjadi tuan rumah SABC. Kami mahu meningkatkan kerjasama antara satu sama lain dalam Asean.

“Di SABC, kami ingin membincangkan strategi dan idea yang boleh membawa kita lebih dekat untuk meneroka sinergi,” katanya.

SIBS 2023 yang berlangsung sehingga Ahad ini menyediakan hampir 1,050 reruai dengan jangkaan 50,000 pengunjung termasuk pelawat dari luar negara.


Pengarang :