Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) melancarkan Skim INSAN Takaful di Pusat Konvensyen Bangi, Kajang pada 4 Ogos 2023. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek (dua, kanan). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Waris kanak-kanak maut kemalangan bakal dapat pampasan insurans negeri

SHAH ALAM, 19 OKT: Waris kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Indah, Ampang yang maut dalam kemalangan Sabtu lalu akan dihubungi selewat-lewatnya Isnin ini bagi proses tuntutan pampasan insurans Kerajaan Negeri.

Pengurus projek Skim Insurans Am Selangor (INSAN) berkata pihaknya menerima laporan kemalangan menimpa Puteri Raisa Zahra Azlan ketika dalam perjalanan ke sekolah daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kelmarin yang meminta supaya urusan itu dipercepat.

Pengurus Projek INSAN Nur Syuhaida Jamalluddin

“MBI beri tempoh seminggu untuk kita hubungi keluarga arwah bagi membantu proses tuntutan insurans. Kita bagi keadaan reda dahulu memandangkan kejadian masih baru berlaku.

“Selepas itu kita akan hubungi ibu bapa mangsa untuk pengesahan alamat dan poskod. Jika maklumat sudah disahkan, kita akan ajar cara buat tuntutan berkenaan,” kata Nur Syuhaida Jamalluddin ketika dihubungi.

Berdasarkan rekod, beliau memaklumkan mangsa dilindungi INSAN bagi kategori pelajar yang dipanggil ‘blanket coverage’ atau perlindungan menyeluruh dengan jumlah pampasan RM11,000.

“Perlindungan menyeluruh ini membabitkan golongan bayi berusia 30 hari hingga enam tahun dan pelajar sekolah berumur tujuh hingga 19 tahun. Kita percaya ibu bapa mangsa mereka belum tahu anak mereka sebenarnya dilindungi insurans.

“Tempoh pengkreditan pampasan untuk waris bergantung kepada dokumen yang dikemukakan kepada pihak kami. Jika cepat dokumen dihantar, maka lebih cepat pampasan akan dikreditkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat dan Komunikasi Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata tempoh seminggu diberi kepada pihak berkaitan untuk menghubungi keluarga mangsa sebelum tindakan susulan dibuat.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor

“Buat masa ini tempoh bertenang untuk keluarga arwah. Mewakili MBI, saya rakamkan ucapan takziah dan berharap keluarga Allahyarhamah tabah menghadapi dugaan berat ini. Semoga rohnya dikurniakan husnul khotimah,” katanya.

INSAN diperkenal tahun lalu bagi melindungi semua penduduk negeri ini seawal usia 30 hari hingga 80 tahun dengan kos premium ditanggung sepenuhnya Kerajaan Selangor.

Menyasar enam juta rakyat, skim itu memberi perlindungan sehingga RM10,000 bagi kes hilang upaya kekal dan kematian disebabkan kemalangan.

Awal Ogos lalu, INSAN ditambah baik dengan menawarkan skim INSAN Takaful yang memberi perlindungan sehingga RM10,000 manakala waris sebanyak RM1,000 jika berlaku kematian.

Setakat ini, sebanyak 57 daripada 129 permohonan tuntutan pampasan INSAN diselesaikan kepada waris membabitkan jumlah RM669,000.


Pengarang :