EXCO Industri Halal Dr Mohammad Fahmi Ngah (empat, kiri) ketika meninjau reruai Halal International Selangor sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 19 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

HIS Toyyiba sedia klinik halal kepada pengunjung, pempamer secara percuma

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Halal International Selangor (HIS) Toyyiba Sdn Bhd menyediakan Klinik Halal sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023.

Pengurus besarnya Muhammad Syaril Showkat Ali berkata perkhidmatan itu disediakan secara percuma kepada pengunjung dan pempamer di Pavilion Halal Selangor.

“Kita ambil peluang ini untuk berkongsi ilmu mengenai langkah untuk mendapatkan pensijilan halal dalam pelbagai sektor.

Pengurus Besar HIS Toyyiba Sdn Bhd Muhammad Syaril Showkat Ali. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kita beri borang untuk mereka isi dan kemudian kita sediakan konsultansi secara percuma. Setakat ini sambutan amat menggalakkan walaupun baru hari pertama,” katanya kepada Selangorkini.

Muhammad Syaril menjelaskan usahawan yang berminat boleh meneruskan konsultansi susulan yang menawarkan bimbingan daripada pakar dengan yuran berpatutan.

SIBS 2023 yang bermula semalam sehingga Ahad menyediakan hampir 1,050 reruai dengan jangkaan 50,000 pengunjung termasuk pelawat dari luar negara.

EXCO Industri Halal Dr Mohammad Fahmi Ngah (berdiri, kanan) dan Pengurus Besar HIS Toyyiba Sdn Bhd Muhammad Syaril Showkat Ali (berdiri, kiri) meninjau reruai Halal International Selangor sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 19 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sidang tahunan itu menampilkan enam acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) dan Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan).

Turut dianjur Ekspo Taman Perindustrian Selangor, Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor dan Persidangan Perniagaan Asia.


Pengarang :