Aksi Lee Zii Jia ketika menentang pemain China Li Shi Feng dalam Terbuka India pada 20 Januari 2023. Foto Facebook BAM
AGENDASUKANKINI

Lee Zii Jia menang percuma, mara ke suku akhir Terbuka Denmark

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tidak perlu bermandi peluh untuk mengesahkan kemaraan ke suku akhir Terbuka Denmark, hari ini.

Ia selepas lawannya di pusingan kedua iaitu wakil tuan rumah yang juga pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen membuat keputusan menarik diri.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam satu kenyataan ringkas memberitahu Axelsen terpaksa menarik diri susulan kecederaan kaki kirinya, lapor Berita Harian.

“Pilihan utama Viktor Axelsen menarik diri dari Terbuka Denmark 2023 kerana kecederaan pada kaki kirinya. Lawannya di pusingan 16, Lee Zii Jia mara ke suku akhir,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Axelsen yang juga pilihan pertama mengakui kecewa kerana tidak dapat meneruskan aksi pada kejohanan kali ini.

“Saya kecewa kerana tidak dapat beraksi hari ini. Saya suka bermain di Odense dan dihadapan penyokong Denmark tetapi ia tidak selamat untuk saya bermain.

“Saya harap dapat memulakan proses pemulihan dengan segera dan kembali ke gelanggang secepat mungkin,” katanya.

Zii Jia seterusnya akan bertemu pemain Jepun, Kenta Nishimoto pada aksi suku akhir, esok.

Nishimoto turut mara ke kelompok lapan terbaik selepas menewaskan pemain Taiwan, Chou Tien Chen dalam pertarungan tiga set 10-21, 21-19, 21-14.


Pengarang :