Orang ramai berbelanja pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) di pasar raya Segi Fresh Teluk Panglima Garang pada 30 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah di empat cawangan Segi Fresh Ahad ini

SHAH ALAM, 20 OKT: Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan berlangsung di empat cawangan pasar raya Segi Fresh Ahad ini.

Program jualan murah barangan dapur seperti ayam, ikan dan minyak masak itu diadakan di cawangan Segi Fresh Jalan Kebun, Gombak, Kajang dan Antara Gapi.

“Dapatkan barangan keperluan asas yang murah dan berkualiti. Kami bekerjasama dengan PKPS dalam memberikan manfaat kepada yang memerlukan terutama berpendapatan rendah yang terkesan kenaikan kos sara hidup,” kata Segi Fresh menerusi Facebook.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan meninjau sekitar pasar raya selepas melancarkan Jualan Ehsan Rahmah bersama Segi Fresh di cawangan Telok Panglima Garang pada 30 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pasar raya itu dilantik sebagai rakan strategik PKPS bagi pelaksanaan program JER termasuk penyediaan lokasi jualan dan logistik di 55 premis rangkaian Segi Fresh seluruh Selangor.

Jualan murah barangan asas itu sebahagian daripada memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara PKPS dan Segi Fresh, Julai lalu bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Selain bekerjasama dengan Segi Fresh, PKPS turut menganjurkan JER di lokasi terpilih seluruh negeri pada setiap hari kecuali Jumaat.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih lima juta rakyat sehingga kini.

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS


Pengarang :