Foto Arkib Selangorkini
AGENDAJENAYAH

Mangsa kedua lemas meninggal dunia selepas enam hari dirawat di hospital

MELAKA, 20 OKT: Seorang lagi pelajar lelaki mangsa lemas di Pantai Mutiara, Kem Terendak meninggal dunia malam tadi, selepas enam hari koma dan mendapatkan rawatan di Hospital Melaka di sini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata mangsa Mohamad Lukhman Aliff Mokhtar,16, disahkan meninggal dunia kira-kira 10 malam, dipercayai lemas dan mengalami kematian otak.

“Pada 13 Oktober lepas mangsa dibawa dengan ambulans Hospital Kem Terendak ke bahagian kecemasan Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Sepanjang rawatan mangsa mendapat bantuan pernafasan dan pemeriksaan secara berkala oleh pihak hospital mendapati pelajar tersebut mengalami kematian otak akibat kekurangan oksigen dan disahkan meninggal dunia oleh doktor yang merawat di wad,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Christopher berkata pihaknya dimaklumkan jenazah akan dibawa balik ke Pasir Mas, Kelantan untuk dikebumikan.

Mohamad Lukhman Aliff adalah kawan baik kepada Faris Darwisy Mohd Faizal, 16, yang meninggal dunia dalam kejadian petang 13 Oktober ketika cuba menyelamatkan rakannya itu di pantai berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan pelajar lelaki tingkatan empat ditemukan lemas ketika cuba menyelamatkan rakannya ketika mandi-manda di pantai Mutiara Kem Terendak, pada petang Jumaat minggu lalu.

Mangsa ke pantai itu bersama 14 pelajar dan dua guru Sekolah Menengah Kebangsaan Kem Terendak pada jam 6 petang untuk meraikan hari terakhir guru pelatih yang mengajar di sekolah mereka.

– BERNAMA


Pengarang :