Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan platform Perkongsian Data Negeri Selangor (SelGDX) ketika merasmikan Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 20 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor lancar portal data kerajaan, perkukuh peranan semua jabatan

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Selangor muncul sebagai negeri pertama membangunkan portal perkongsian data bersepadu antara 70 jabatan dan agensi bagi memudahkan capaian dan mempercepat pemprosesan data.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata platform Perkongsian Data Negeri Selangor (SelGDX) yang beroperasi sejak 13 Oktober lalu turut memudahkan orang awam mendapatkan maklumat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis perasmian Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 20 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Portal ini menjadikan Selangor sebagai negeri pertama yang membangunkan platform kongsi data merentas agensi.

“Sistem ini juga memudahkan capaian dan pemprosesan data lebih cepat, selamat dan tepat selain memupuk penggunaan teknologi dan amalan tadbir urus yang baik, efisien dan telus,” katanya.

Amirudin melancarkan SelGDX ketika merasmikan Konvensyen Bandar Pintar Selangor dan Ekonomi Digital ke-8 sempena Sidang Kemuncak Niaga Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Portal yang dibangunkan menerusi usaha sama Bahagian Pengurusan Maklumat Pejabat SUK Selangor dengan rakan strategiknya TM ONE, unit penyelesaian perniagaan perusahaan dan sektor awam Telekom Malaysia Bhd selaras dengan hasrat Selangor menjadi negeri pintar, berdaya huni dan makmur menjelang 2025.

Menerusi Belanjawan 2022, Selangor memperuntuk RM2 juta bagi pembangunan SelGDX yang diyakini mampu mengurangkan pertindihan pembangunan dan kos penyelenggaraan prasarana selain memacu ke arah penyampaian perkhidmatan lebih berhemat.


Pengarang :