Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis sambutan 40 Tahun Jubli Delima Pusat Pendidikan Hafiz dan Anugerah Kualiti Pelajar Cemerlang di Wisma Hafiz, Klang pada 21 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Kembang pengajian agama, Selangor hasrat tubuh universiti tahfiz

KLANG, 22 OKT: Kerajaan Negeri berhasrat menubuhkan universiti tahfiz pada masa hadapan bagi mengembangkan lagi pengajian agama.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya sedia berbincang dengan pihak berkaitan mengenai model mahupun pentadbiran institusi pendidikan tersebut.

“Pada tahap ini, pusat tahfiz mempunyai kolaborasi dengan Universiti Al-Azhar dan Universiti Islam Selangor (UIS). Kalau dilihat perkembangannya, ia boleh dilaksana cuma perlu tengok lokasinya kerana banyak kawasan kini digazet untuk institusi atau sekolah.

“Ini boleh dimuktamadkan dan lebih baik jika digabungkan dengan UIS, cuma ada masalah daripada segi keluasan tanah. Jika di Universiti Selangor, kita ada lebihan tanah sekitar 1,000 ekar namun tiada jurusan agama,” katanya Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas merasmikan majlis sambutan 40 Tahun Jubli Delima Pusat Pendidikan Hafiz di sini selain menyampaikan sijil kecemerlangan hafazan 30 juzuk dan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat galeri sejarah Pusat Pendidikan Hafiz sempena majlis sambutan 40 Tahun Jubli Delima Pusat Pendidikan Hafiz dan Anugerah Kualiti Pelajar Cemerlang di Wisma Hafiz, Klang pada 21 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Amirudin menambah Kerajaan Negeri sentiasa menilai keseimbangan maahad tahfiz dengan sentiasa mengemas kini institusi itu supaya terus dipandang tinggi.

“Ini yang kita perjuangkan setiap tahun dengan memperkemas pelbagai aspek termasuk keselamatan, kesihatan, pengisian dan pendidikan di pusat tahfiz. Kita mahu Islam menjadi platform untuk cemerlang di dunia dan akhirat bukannya menampakkan imej-imej tidak sesuai.

“Malah, kita mahu melahirkan pelajar yang bukan sahaja menghafaz al-Quran tetapi menjadi manusia yang baik dan bertamadun, lengkap dengan peradaban,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sijil kecermelangan hafazan 30 Juzuk dan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia kepada penerima sempena majlis sambutan 40 Tahun Jubli Delima Pusat Pendidikan Hafiz dan Anugerah Kualiti Pelajar Cemerlang di Wisma Hafiz, Klang pada 21 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Amirudin turut memaklumkan, dalam usaha membantu pendidikan pelajar di pusat tahfiz, Kerajaan Selangor turut mewujudkan program laluan pantas untuk menduduki peperiksaan SPM.

“Selain laluan pantas, kita adakan kelas-kelas tambahan diatur Jais (Jabatan Agama Islam Selangor). Kita beri peluang lebih 1,000 pelajar dan mereka bukan sahaja lulus, bahkan mendapat keputusan cemerlang.

“Ini seperti titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, yang mahu pusat tahfiz bukan sahaja diwujud untuk melahirkan masyarakat menghafaz al-Quran tetapi diberi peluang pengisian didikan dalam akademik,” katanya.

 


Pengarang :