Kakitangan TRP Technologies (M) Sdn Bhd mempromosikan produk minuman kesihatn mereka ketika Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 21 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ekspo Selangor peluang syarikat perubatan herba, moden tembus pasaran luar

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Syarikat pengeluar teh herba diperbuat daripada daun kelapa sawit memanfaatkan penyertaan dalam Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE) kali ini untuk mempromosi keunikan produk itu kepaada orang ramai.

Pengurus Projek TRP Technologies (M) Sdn Bhd Ar Tiruselvan berkata produk jenama Fyllo semakin mendapat sambutan kerana mengandungi khasiat berbeza berbanding teh biasa dan teh hijau yang sinonim dalam kalangan masyarakat.

Pengurus Projek TRP Technologies (M) Sdn Bhd Ar Tiruselvan. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kami ketengah produk ini sebab paling ramai orang beli setakat ini kerana khasiat dan vitamin yang terkandung di dalamnya sesuai untuk individu menghidap gout serta sukar lawas.

“Kami ada testimoni individu menghidap gout sembuh daripada masalah itu selepas dua tiga minggu pengambilannya. Kami harap produk ini terus dikenali, apatah lagi ia akan dipasarkan di farmasi selepas ini,” katanya ditemui semalam.

Sementara itu, pengurus produk MyMedikal Healthcare Sdn Bhd berkata penglibatan kali kedua dalam SIE (Medik) sempena Sidang Kemuncak Antarabangsa Selangor (SIBS) bagi menguar-uar cabang perniagaan dikendali syarikat terbabit.

Roszaliza Mohamad Sani memaklumkan pihaknya memfokuskan tiga segmen perniagaan termasuk perkhidmatan berkhatan, akademi berkhatan dan kedai yang menjual alat berkhatan.

Pengurus Produk MyMedikal Healthcare Roszaliza Mohamad Sani. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kita sasar pengunjung seperti ibu bapa yang sedang mencari klinik sesuai untuk mengkhatankan anak mereka. Mereka juga boleh pilih kaedah mana mahu digunakan seperti laser, solehring, clamping atau plastibell mengikut kesesuaian umur anak.

“Begitu juga doktor-doktor yang mahu belajar teknik dan kaedah berkhatan. Mereka boleh sertai akademi dan menimba ilmu berkaitan itu kerana penting untuk tahu kaedah betul bagi mengelak implikasi kesihatan pesakit,” katanya.

Pengurus pembangunan produk dan komunikasi pemasaran Hospital Assunta pula menganggap SIE di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini medium terbaik untuk memperkenal perkhidmatan Robotik bagi pembedahan penggantian lutut.

“Perkhidmatan baharu ini adalah pelaburan untuk hospital ini dengan pesakit diberi pilihan untuk buat ‘Robotic Assisted’ sebab kadangkala pesakit (yang selesai menjalani pembedahan penggantian lutut) memerlukan bantuan ini.

Pengurus Pembangunan Produk dan Komunikasi Pemasaran Assunta Hospital Anson Tan Kok Hin. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Pesakit berminat mendapatkan perkhidmatan ini disaran berjumpa doktor terlebih dahulu untuk tahu sama ada sesuai atau tidak. Jika ia mendatangkan kebaikan kepada proses pemulihan, kita akan tawarkan,” kata Anson Tan Kok Hin.

Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 berlangsung bermula Khamis hingga hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

SIBS menampilkan enam acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) dan Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan).

Turut dianjur Ekspo Taman Perindustrian Selangor, Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor dan Persidangan Perniagaan Asia.

China, Indonesia, Japan, Uganda, Vietnam, Kazakhstan, Korea, Turki, Kenya dan Australia antara negara luar yang mengambil bahagian dalam penganjuran kali ini.

Kakitangan MyMedikal Healthcare mempromosikan produk berkhatan ketika Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 21 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
Pembantu perubatan Asunta Hospital melakukan ujian saringan kesihatan secara percuma ketika Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 21 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :