Orang ramai mengunjungi Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 22 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pempamer sidang niaga tawar promosi istimewa, pengunjung tidak lepaskan peluang

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Lebih banyak promosi istimewa ditawarkan kepada pengunjung pada hari terakhir Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 hari ini.

Pemandu lori, Marhizamzul Ismail, 44, berkata beliau melihat banyak pempamer menawarkan jualan hebat pada harga berpatutan, khususnya di ekspo makanan dan minuman.

Pemandu lori Marhizamzul Ismail, 44. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya tidak pernah melepaskan peluang ke program anjuran Kerajaan Negeri, selain datang ke sini untuk menyokong perniagaan oleh usahawan kecil dan sederhana.

“Hari ini saya lihat banyak peniaga melakukan promosi. Rugi jika pengunjung tidak manfaatkan peluang ini,” katanya yang hadir bersama isteri, Fitriah Roji, 37.

Sementara itu, kontraktor, Teoh Chun Yeaw, 37, sanggup memandu jauh dari Banting mengunjungi SIBS buat kali kedua bersama ahli keluarga.

Beliau yang pertama kali ke sidang niaga antarabangsa itu pada Jumaat lalu tertarik untuk melihat pelbagai acara terutama pameran bandar pintar dan digital.

Teoh Chun Yeaw, 37, (kanan) bersama keluarga mengunjungi Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 22 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya sudah datang pada Jumaat lalu, tetapi pada masa itu saya hadir seorang diri. Hari ini saya datang bersama anak-anak dan isteri sekali gus meluangkan hujung minggu di sini,” katanya.

SIBS 2023 yang bermula Khamis lalu di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur menyediakan hampir 1,050 reruai dengan jangkaan 50,000 pengunjung termasuk pelawat luar negara.

Sidang tahunan itu menampilkan enam acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) dan Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan).

Turut dianjur Ekspo Taman Perindustrian Selangor, Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor dan Persidangan Perniagaan Asia.

Pengunjung tertarik melihat robot pintar di reruai Entomal Biotech pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 22 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :