Orang ramai membeli barangan keperluan asas pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Seri Serdang di Jalan LEP, Subang Jaya pada 23 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Barangan dapur murah, penduduk sentiasa ternanti kehadiran JER

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SUBANG JAYA, 23 OKT: Bimbang terlepas peluang berbelanja di jualan murah berdekatan, bekas pensyarah Isa Samad, 71, mengakui sering mengikuti jadual Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Facebook Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Ditemui di JER DUN Seri Serdang di Jalan LEP di sini, Isa yang ditemani isterinya bersyukur dengan inisiatif berterusan Kerajaan Negeri bagi membantu rakyat mendapatkan bekalan barangan asas berkualiti pada harga 30 peratus lebih murah dari pasaran.

Isa samad, 71,

“Alhamdulillah, ia sebenarnya inisiatif yang terlalu bagus untuk rakyat Selangor. Harga barangan 30 peratus lebih murah dari pasaran luar sememangnya banyak menjimatkan kos perbelanjaan,” katanya.

Begitu juga Syamsidah Syuhaimi, 45, yang sentiasa ternanti-nanti penganjuran JER berhampiran kediamannya bagi membeli barangan dapur murah sekali gus dapat berjimat dan tidak tidak kisah jika perlu beratur panjang untuk membeli.

Syamsidah Syuhaimi, 45,

“Sekarang ini adalah masa untuk berjimat-cermat dan saya memang masak setiap hari untuk isi rumah. Bagi saya datang ke jualan murah ini awal pagi untuk mendapatkan nombor adalah berbaloi,” kata ibu kepada lima orang anak.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman LEP 4 Gopalan Balam berkata lebih 300 pengunjung hadir dengan sebahagiannya mula beratur mendapatkan nombor sejak 8 pagi biarpun jualan dibuka 10 pagi.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk LEP4 Gopalan A/L Balam

“Ini adalah kali kedua penganjuran di kawasan ini dan kebanyakan penduduk adalah mereka terdiri daripada pesara atau warga emas yang menetap di kawasan ini.

“Jadi, mereka cukup gembira dengan penganjuran JER di LEP 4 dan sama seperti pengunjung tempat lain jika boleh mahu adakan setiap minggu kerana bantu menjimatkan kos perbelanjaan harian seperti minyak masak, telur ayam dan sebagainya,” katanya lagi.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Inisiatif tersebut memberi manfaat kepada lebih dua juta penduduk di Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari.

PKPS juga menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi program jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.


Pengarang :