AGENSISELANGOR

Perkeso sasar 12,000 suri rumah di Selangor carum skim keselamatan sosial

SHAH ALAM, 24 OKT: Seramai 12,000 suri rumah di Selangor disasar mencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Pengarah Perkeso Selangor Abdullah Kamal Ahmad berkata sejak diperkenal 1 Disember tahun lalu, 10,122 suri rumah mencarum dalam skim terbabit secara sukarela dan insentif kerajaan.

Timbalan Pengarah Perkeso Selangor Abdullah Kamal Ahmad bercakap kepada media selepas menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada waris pencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di Seksyen 2, Shah Alam pada 24 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Skim ini ambil masa untuk diperkenalkan kepada suri rumah, tetapi kami yakin ia dapat beri manfaat sepenuhnya kepada pihak berkenaan dan capai sasaran tersebut.

“Sekiranya semua pihak termasuk pemimpin masyarakat main peranan dalam mempromosi dan memperluas skim ini, insya-Allah ia akan mendapat sambutan hangat,” katanya.

Beliau ditemui selepas serahan faedah pencen penakat dan pengurusan mayat kepada waris suri rumah yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Seksyen 2 di sini hari ini.

Timbalan Pengarah Perkeso Selangor Abdullah Kamal Ahmad (kanan) menyampaikan kotak makanan kepada waris pencarum pencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Norsham Hassan di Seksyen 2, Shah Alam pada 24 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, Abdullah Kamal berkata skim serendah RM120 setahun itu penting sebagai persediaan jika ditimpa insiden luar jangka selain meringankan beban ahli keluarga pencarum.

“Malang tidak berbau dan tiada siapa dapat menjangka sesuatu musibah atau kematian. Jadi kami amat berharap suri rumah ada kesedaran untuk mendaftar dalam skim ini.

“Skim ini hanya RM120 tetapi manfaatnya amat besar terutama dapat membantu kelangsungan hidup waris atau keluarga yang masih hidup,” katanya.

Diperkenal bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022, SKSSR memberi perlindungan bencana domestik kepada suri rumah yang ditimpa kemalangan semasa melakukan urusan rumah tangga selain sakit atau uzur.

Syarat kelayakan warganegara Malaysia atau pemastautin tetap, suri rumah belum mencapai usia 55 tahun dan membayar caruman untuk tempoh 12 bulan terlebih dahulu melalui suami, suri rumah, keluarga atau mana-mana pihak ketiga bagi suri rumah tersebut

Setakat 20 Oktober, Perkeso Selangor membayar faedah berjumlah RM26,926.58 kepada waris 19 pencarum bawah skim terbabit.


Pengarang :