Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengunjungi Syeikh Al Azhar, Al Imam al Akbar Syeikh Ahmad El Tayeb ketika lawatan ke Mesir. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Lawatan Anwar bukti solidariti Malaysia-Mesir dukung perjuangan Palestin

KAHERAH, 24 OKT: Lawatan kerja dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Mesir yang berakhir semalam telah memperlihatkan solidariti Malaysia dan Mesir dalam mendukung perjuangan rakyat Palestin menuntut hak dan kedaulatan negara mereka.

Ini terbukti apabila isu Palestin, nasib serta kesengsaraan masyarakat Palestin di Gaza menjadi fokus perbincangan Anwar dan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi dalam pertemuan empat mata kedua-dua pemimpin itu semalam.

Hasilnya, kedua-dua pemimpin sepakat bahawa tidak akan ada kestabilan dan keamanan yang berkekalan di rantau bergolak itu selagi hak rakyat Palestin dan kedaulatan negara mereka itu tidak dikembalikan.

“Matlamat yang jelas iaitu mempertahankan hak dan kedaulatan negara Palestin. Kalau ini tidak tercapai, penyelesaian dan kedamaian tidak akan kekal. Ini pendirian rakan-rakan kita termasuk Mesir dan semalam di Turkiye dan sebelum itu di Riyadh, itu pandangan kita bersama,” kata Anwar kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan kerja dua harinya ke Mesir semalam.

Malah Anwar dan El-Sisi sepakat bahawa negara-negara barat bertanggungjawab untuk memberi tekanan kepada rejim Israel untuk menghentikan serangan ke atas Gaza kerana penderitaan dan kesengsaraan rakyat Palestin di kawasan itu sudah di tahap sangat parah.

Anwar dan El-Sisi juga sependapat bahawa kemudahan awam di Gaza seperti hospital dan sekolah tidak sepatutnya dirosakkan dan menjadi sasaran serangan rejim Israel dalam konflik berkenaan.

Selain itu, kedua-dua pemimpin turut berbincang mengenai kaedah terbaik dan berkesan dalam misi menyalurkan bantuan kemanusiaan di Gaza dan menurut Anwar, El-Sisi bersetuju mempermudahkan penyaluran bantuan dari Malaysia ke Gaza termasuk penghantaran pakaian ke kawasan bergolak itu.

Walaupun fokus berbincangan Anwar dan El-Sisi tertumpu kepada isu Palestin namun kedua-dua pemimpin yang buat kali pertama bertemu sejak menerajui kepimpinan negara masing-masing turut memanfaatkan pertemuan itu bagi membincangkan isu-isu lain di Timur Tengah serta kerjasama dua hala yang boleh diterokai bagi manfaat Malaysia dan Mesir.

Ini termasuk dalam aspek perdagangan serta perusahaan dan bagi tujuan itu, Anwar telah mengarahkan kementerian luar membincangkan perkara itu melalui jawatankuasa mengenainya yang akan dibentuk kelak.

Malah pertemuan Anwar dan El-Sisi berkenaan juga dilihat mampu memperkukuh lagi hubungan dua hala Malaysia-Mesir dan ini dapat dilihat melalui persetujuan Presiden Mesir itu untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada awal tahun hadapan.

Sementara itu, Anwar turut memanfaatkan lawatannya ke Mesir untuk menjelaskan dasar-dasar baharu yang diperkenalkannya sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November tahun lepas kepada diaspora dan pelajar Malaysia di Mesir sempena Majlis Ramah Mesra dengan mereka.

Mereka tidak melepaskan peluang untuk bertanyakan pelbagai soalan bagi mendapatkan penjelasan Anwar sendiri berkenaan pelbagai isu termasuk perkembangan politik semasa negara serta bergambar dan berswafoto dengan Perdana Menteri.

Kunjungan hormat Perdana Menteri ke atas Sheikh Al-Azhar Prof Dr Ahmed el-Tayeb di sini, bukan sahaja menjadi ruang kepada Anwar untuk berbincang berkenaan isu-isu kepentingan ummah tetapi ia turut memberi peluang kepada Perdana Menteri bertanyakan mengenai kebajikan pelajar Malaysia di Mesir.

Melalui perbincangan itu, masalah 60 pelajar Pahang yang tidak dapat melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar kerana tidak melalui prosedur yang ditetapkan universiti itu dan kerajaan Mesir, berjaya diselesaikan.

– BERNAMA


Pengarang :