Pemangku Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Mohd Fareez Mohd Ariss@Mohd Hatta mempengerusikan mesyuarat di Menara MPKj pada 25 Oktober 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Ramalan cuaca tidak menentu, MPKj siap sedia kemungkinan bah

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

HULU LANGAT, 25 OKT: Anggota penyelamat Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir susulan ramalan cuaca yang tidak menentu pada hujung tahun ini.

Pemangku Yang Dipertua MPKj Mohd Fareez Mohd Ariss@Mohd Hatta berkata pihaknya mempunyai kekuatan 120 anggota termasuk dari Skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) jika bencana berlaku.

“Dari segi aset,  kita mempunyai lima bot dan dua lori tangki termasuk lima pusat pemindahan sementara (PPS) di bawah MPKJ.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan menyediakan tambahan bantuan sekali ganda. Kemudahan asas di PPS juga akan ditambah bagi memberi keselesaan.

“Selain itu, MPKj juga bekerjasama dengan Pejabat Daerah Dan Tanah Hulu Langat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Hulu Langat, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan beberapa agensi lain bagi melancarkan operasi jika berlaku bencana.,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat bulanan di Menara MPKj hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Fareez berkata pihaknya dengan kerjasama  Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) turut membersihkan parit dan longkang bagi mengelakkan saluran air tersumbat jika hujan berterusan.

“Isu parit dan longkang tersumbat antara tumpuan pihak kami selain keadaan kolam takungan. Kita harap banjir tidak akan berlaku namun pihak kami bersiap siaga dengan segala kemungkinan,” katanya.


Pengarang :