EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim (tengah) dan Pengarah Urusan Koridor Utiliti Selangor (Kusel) Khairul Azmi Misran (lima, kiri) bersama peserta bengkel pemurnian proses kerja di The Saujana Hotel, Kuala Lumpur pada 24 Oktober 2023. Foto Koridor Utiliti Selangor
AGENSISELANGOR

Kusel jangka permohonan permit utiliti meningkat menjelang 2025, seiring RS-1

SHAH ALAM, 25 OKT: Koridor Utiliti Selangor (Kusel) menjangkakan permohonan permit utiliti negeri  meningkat menjelang 2025 seiring Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Pengarah Urusannya Khairul Azmi Misran berkata sebanyak 1,884 permohonan aset utiliti diproses membabitkan telekomunikasi, elektrik dan air setakat 15 Oktober, angka tertinggi di Malaysia.

Pengarah Urusan Kusel Khairul Azmi Misran ketika sesi temu bual bersama Media Selangor di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 20 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita jangka peningkatan siginifikan beberapa tahun mendatang terutama pada 2025 memandangkan Kusel main peranan strategik dalam rancangan pembangunan lima tahun negeri.

“Ia meliputi Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS), Kawasan Pembangunan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) dan Zon Pembangunan Ekonomi Gerbang Maritim Selangor (ZPE-SMG),” katanya kepada Selangorkini.

Sebagai persediaan menggalas tanggungjawab penting dalam RS-1, beliau berkata persediaan dibuat termasuk membina sistem pangkalan data utiliti bawah tanah untuk memudahkan akses dalam talian di kawasan pembangunan baharu dan sedia ada.

Selain itu, Khairul Azmi berkata pihaknya turut menganjurkan bengkel pemurnian proses kerja bersama pihak berkepentingan bagi berkongsi ilmu dan kepakaran.

“Langkah ini diambil sebagai persediaan awal RS-1 dan memanfaatkan ekosistem utiliti di Selangor sekali gus memacu pertubuhan ekonomi negeri serta menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya.

Kerajaan Negeri menubuhkan Kusel untuk menjadi pemudah cara kepada syarikat penyedia utiliti memohon permit pembangunan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Syarikat bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI itu turut berperanan memastikan penyedia utiliti menepati garis panduan laluan kemudahan utiliti dan penggalian jalan negeri yang diterbitkan PLANMalaysia@Selangor.

Penubuhannya juga selaras hasrat menjadikan Selangor sebagai Negeri Pintar menjelang 2025 dengan menyediakan persekitaran kondusif untuk masyarakat.


Pengarang :