Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersama beberapa syarikat ketika Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 19 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PKNS jalin kerjasama bangunkan kemudahan kuarters secara terancang

Advertorial

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersama anak syarikat, PKNS FM Intergrated Sdn Bhd (PKNS FMI) dan Inter Great (M) Sdn Bhd bekerjasama membangunkan asrama pekerja asing di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS FMI, Shamshul Bahari Ahmad berkata, menerusi memorandum persefahaman (MoU), kediaman pekerja sama ada kuarters penempatan sementara (TLQ) atau kuarters pekerja berpusat (CLQ) lebih terjamin memandangkan pembangunannya secara terancang.

Jelas beliau, MoU selama dua tahun yang ditandatangani ketika perasmian Sidang Kemuncak Niaga
Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 itu, mampu mengurangkan kos pembinaan namun tetap menjamin
pulangan berkualiti.

“Reka bentuk asrama ini dilengkapi ciri keselamatan selain pelbagai kemudahan disediakan. Ini bertujuan memastikan keadaan pekerja industri lebih terurus dan tahap keselamatan memuaskan.

“PKNS bertindak sebagai pemaju manakala Inter Great bertanggungjawab membina struktur bangunan.
Apabila siap, tugas menyelenggara penempatan ini diuruskan oleh PKNS FMI,” katanya kepada Selangorkini.

Menurut Shamshul Bahari, menerusi pelan jangka panjang, PKNS menyasarkan 50,000 unit CLQ akan terbina menjelang 2032 dengan setiap projek mengambil masa empat tahun untuk siap sepenuhnya.

“Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan PKNS mahu CLQ beroperasi menjelang 2027 dan badan itu komited
membantu termasuk mendapatkan permit bangunan sementara. Manakala kediaman asrama kategori TLQ,
PKNS menyasarkan 8,000 unit dapat dibina menjelang tahun depan,” katanya.

Terdahulu Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyaksikan pemeteraian MoU yang ditandatangani Shamshul bersama Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mahmud Abbas dan Ketua Pegawai Eksekutif Inter Great, Dato’ Sri Chew Suen Wei.

Pada Januari tahun lalu, Amirudin memaklumkan lebih banyak kompleks kediaman pekerja dibangunkan oleh Kerajaan Negeri bagi menjaga kebajikan golongan itu selain memudahkan pemantauan.

Beliau berkata, pihaknya mengenal pasti tapak seluas 200 ekar untuk menempatkan 60,000 pekerja dan projek dibangunkan PKNS akan dilengkapi kedai dobi, restoran dan kedai runcit.


Pengarang :