Polis mengingatkan masyarakat untuk berwaspada ketika membuat pembelian melalui platform e-dagang dengan memastikan ia mempunyai ciri keselamatan dan sentiasa menyemak komen daripada pengguna lain. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Polis terima 125,169 laporan kes jenayah komersial libat kerugian RM1.7 bilion

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Sebanyak 125,169 laporan polis diterima dari Januari hingga 22 Oktober lalu membabitkan pelbagai kesalahan jenayah komersial dengan nilai kerugian RM1.7 bilion.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata daripada jumlah itu 33,269 kertas siasatan dibuka.

“Sepanjang minggu kajian dari 16 hingga 22 Oktober lepas, 891 kertas siasatan dibuka melibatkan pelbagai kategori kesalahan jenayah komersial.

“Daripada jumlah 891 itu, kes jenayah komersial bersindiket mencatat 620 kes bersamaan 69.6 peratus,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ramli berkata kes penipuan belian secara dalam talian mencatat jumlah tertinggi bagi minggu kajian iaitu 257 kes dengan nilai kerugian RM3.8 juta, manakala kes penipuan pelaburan turut merekodkan jumlah kes tinggi iaitu 156 kes melibatkan kerugian RM21 juta.

Beliau berkata perkembangan teknologi semasa memperlihatkan wujudnya pelbagai modus operandi penipuan baharu yang memberi ancaman kepada masyarakat.

“Dalam usaha membantu mengurangkan kes berkaitan penipuan, masyarakat perlu sentiasa cakna dengan maklumat dan informasi jenayah komersial yang sentiasa disampaikan polis melalui pelbagai medium penyampaian,” katanya yang turut menggesa orang ramai menyebarluaskan maklumat berkaitan jenayah komersial.

– BERNAMA


Pengarang :