Salah seorang penerima BINGKAS Salina Damsah membeli barangan keperluan asas ketika tinjauan Media Selangor di Pasaraya Maju A&A, Gombak pada 15 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Belanjawan negeri 2024, wakil rakyat cadang tambah jumlah penerima Bingkas

KLANG, 26 OKT: Wakil rakyat Pelabuhan Klang berharap belanjawan negeri 2024 mempertimbangkan cadangan untuk menambah bilangan penerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas).

Azmizam Zaman Huri berkata perkara itu wajar diteliti kerana bilangan pengundi di dewan undangan negeri (DUN) termasuk di Pelabuhan Klang semakin bertambah.

ADN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri bercakap kepada media selepas perasmian Karnival Ortopedik Hospital Pakar KPJ Klang di Bandar Baru Klang, Klang pada 26 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Buat masa ini, seramai 330 penerima di DUN Pelabuhan Klang menerima bantuan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun. Kita berharap dapat ditambah sedikit sekurang-kurangnya kepada 500 individu.

“Selain itu, saya berharap Belanjawan 2024 dapat memfokuskan program-program berkaitan anak muda terutama peluang pekerjaan,” katanya ditemui pada majlis perasmian Karnival Ortopedik di Hospital Pakar KPJ Klang hari ini.

Dalam pada itu, Azmizam yang dilantik sebagai pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor berharap semua wakil rakyat termasuk pembangkang dapat berbahas dengan baik demi kepentingan rakyat.

“Sidang Dewan Negeri Selangor pada kali ini tidak sama seperti dulu kerana 22 kerusi daripada pembangkang. Suasananya sudah pasti berbeza dan saya berharap semua wakil rakyat tidak terbawa-bawa isu di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Saya juga berharap semua ketepikan fahaman politik dan bincang isu berkaitan rakyat dan memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dijadual membentangkan Belanjawan Selangor 2024 dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada 10 November depan. Dewan dijadual bersidang mulai 10 November hingga 24 November.

Bagi belanjawan negeri tahun ini, sejumlah RM2.45 bilion diluluskan melibatkan perbelanjaan pengurusan berjumlah RM1.25 bilion manakala pembangunan pula sebanyak RM1.2 bilion.


Pengarang :