EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berucap pada majlis Pelancaran Insentif Penjagaan Anak Bagi Wanita Bekerja di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 26 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Negeri cari solusi tingkat penglibatan wanita dalam tenaga kerja

SHAH ALAM, 26 OKT: Kerajaan Negeri mencari solusi bagi meningkatkan penglibatan wanita dalam tenaga kerja sekali gus menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

EXCO pembangunan wanita berkata usaha itu juga bagi merapatkan jurang penyertaan wanita dalam tenaga buruh di Selangor yang kini merekodkan 69.9 peratus berbanding lelaki 83.5 peratus, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Kami akan mengadakan Simposium Ekonomi Penjagaan Selangor pada Isnin dan Selasa depan dengan menjemput pemegang taruh. Simposium akan bincang bagaimana untuk tingkatkan penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari merasmikan majlis Pelancaran Insentif Penjagaan Anak Bagi Wanita Bekerja di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 26 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sekiranya kadar penyertaan wanita (dalam tenaga buruh) dapat dioptimumkan, kami percaya Selangor mampu mencapai KDNK antara RM22.4 juta hingga RM32.1 juta setahun,” kata Anfaal Saari di sini hari ini.

Bercakap pada sidang media selepas pelancaran insentif MamaKerja, Anfaal mengakui ramai wanita masa kini terpaksa meninggalkan kerjaya diceburi sebelum ini bagi memikul tanggungjawab menjaga anak.

“Ramai kalangan ibu terpaksa mengurus sendiri anak-anak dan urusan rumah tangga. Jadi ada yang berkorban untuk tidak bekerja kerana kos hantar anak ke pusat jagaan mahal selain mahu jaga anak sendiri.

“Kerajaan Negeri sentiasa mendokong usaha untuk meningkatkan partisipasi wanita dalam tenaga kerja,” katanya.


Pengarang :