Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan oleh Mantan Timbalan Presiden Indonesia, Jusuf Kalla pada Majlis Makan Malam di Seri Perdana, Putrajaya pada 26 Oktober 2023. Foto AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri
AGENDANASIONAL

PM terima kunjungan hormat Jusuf Kalla, bincang isu Palestin

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerima kunjungan hormat bekas Naib Presiden Indonesia Muhammad Jusuf Kalla dan isterinya, Mufidah di Seri Perdana, Putrajaya, malam tadi.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Anwar berkata mereka membincangkan perkembangan isu Palestin yang menjadi perhatian dan sangat mengesankan Jusuf Kalla.

“Kesempatan yang ada turut kami gunakan untuk menyentuh kepentingan pengukuhan aliran dakwah dan pemikiran Islam yang sederhana di rantau Alam Melayu melalui aktiviti-aktiviti ilmu dan keagamaan.

“Ia juga seiring dengan peranan semasa Bapak Jusuf Kalla sebagai Ketua Dewan Masjid Indonesia (DMI),” katanya.

Perdana Menteri berharap agar pertemuan tersebut akan meneruskan lagi legasi panjang Jusuf Kalla yang sinonim dengan hubungan istimewa Malaysia dan Indonesia.

Anwar turut memuat naik beberapa keping gambar pertemuan itu.

– BERNAMA


Pengarang :