Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din pada sidang media mengenai rampasan sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah jenis syabu dan kokain di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Selangor pada 27 Oktober 2023. Foto Facebook BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Dadah bernilai RM33.7 juta dirampas, tujuh lelaki ditahan

KAJANG, 27 OKT: Tujuh lelaki termasuk seorang warga Sri Lanka ditahan selepas disyaki menyeludup dan mengedar dadah yang dianggar bernilai RM33.73 juta, Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata semua suspek yang berumur 21 hingga 52 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dalam operasi antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.15 petang.

Beliau berkata pada mulanya polis mengesan sebuah kontena berisi syabu 411.172 kilogram (kg) dan kokain 100.813 kg di sebuah gudang di Taman Cheras Prima, di sini, yang dibawa masuk dari Pakistan melalui Pelabuhan Klang, pada 10.30 malam Selasa lalu.

“Pada keesokannya dadah itu dipunggah keluar dari kontena, dan ketika itu serbuan dilakukan,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini.

Mohd Kamarudin berkata ada antara dadah itu disorokkan di dalam kampit bawang, dan siasatan mendapati sindiket itu bergiat aktif sejak awal tahun ini.

“Lima daripada tujuh suspek memiliki rekod jenayah lampau, termasuk berkaitan dadah,” katanya sambil menambah kesemua suspek direman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata dadah yang dirampas itu boleh digunakan 2.6 juta penagih dadah dan polis juga menyita pelbagai aset antaranya enam kenderaan, barang kemas serta wang tunai, semuanya dianggarkan bernilai RM384,964.

– BERNAMA


Pengarang :