Sebahagian penerima baucar Jom Shopping Deepavali kelihatan gembira setelah menerima baucar tersebut yang disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar pada program Jom Shopping Deepavali DUN Sungai Tua di Sri Ternak, Gombak pada 16 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

400 keluarga di DUN Balakong diminta tuntut baucar beli-belah Deepavali

SHAH ALAM, 27 OKT: Seramai 400 keluarga India di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong diminta menuntut baucar Jom Shopping Deepavali pada 5 November ini.

Wakil rakyatnya Wayne Ong Chun Wei berkata penerima yang layak boleh hadir ke pasar raya Econsave Balakong bermula jam 10.30 pagi hingga 1 tengah hari pada hari tersebut.

“Kemudian mereka terus boleh membeli-belah di pasar raya sama dengan menggunakan baucar bernilai RM200 itu.

“Kita berharap usaha Kerajaan Negeri ini dapat membantu meringankan beban penerima dalam membuat persediaan sambutan perayaan,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, EXCO pembasmian kemiskinan memaklumkan sebanyak 22,000 baucar beli-belah disediakan Kerajaan Selangor sempena Deepavali tahun ini membabitkan peruntukan RM4.4 juta.

Menurut V Papparaidu, setiap DUN termasuk 22 kawasan pembangkang menerima kuota antara 300 hingga 600 baucar bergantung bilangan penduduk India di kawasan masing-masing.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri yang menyasar golongan berpendapatan rendah sebagai inisiatif jangka panjang bagi membela kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Serahan bantuan dibuat melalui pusat khidmat masyarakat di kawasan masing-masing mengikut komponen utama kaum dan sambutan perayaan.

Belanjawan tahun ini memperuntuk RM16.48 juta bagj memanfaatkan 82,400 penerima selepas nilai baucar dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 berikutan situasi ekonomi dan keperluan rakyat.


Pengarang :