SHAH ALAM, 27 OKT: Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang diperkenalkan tahun lalu bagi meringankan beban rakyat diteruskan tahun depan melibatkan peruntukan RM10 juta.
EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata program jualan murah barangan asas itu akan ditambah baik bagi memberi manfaat lebih banyak kepada penduduk.
“JER akan diteruskan tahun depan. Kita terima peruntukan tambahan RM10 juta dan akan lakukan penambahbaikan,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan RM1 juta Kerajaan Negeri kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin hari ini.
Program intervensi itu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/10/WhatsApp-Image-2023-10-19-at-2.09.09-PM-500x375.jpeg.webp)
Setakat Julai, penganjuran JER diadakan di lebih 2,400 lokasi dengan mencatat nilai jualan RM60 juta termasuk pemberian subsidi bersasar lebih RM20 juta dari Kerajaan Negeri.
Sementara itu Izham berkata Selangor menjadi negeri pertama yang mempunyai simpanan bekalan makanan sebagai langkah keterjaminan makanan.
Jelasnya program melibatkan kerjasama beberapa pihak sedang mengenal pasti bekalan sesuai disimpan berikutan bahan makanan mempunyai tarikh luput.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/10/PSX_20231027_124734-1-500x333.jpg.webp)
“Kali ini kita guna kaedah berbeza. Kita nak lihat cara urus makanan kalau ada bencana. Contohnya simpanan beras, sekurang-kurangnya tahan tiga bulan (bekalan).
“Kita akan simpan di gudang. Sekarang sedang kenal pasti makanan sesuai macam beras dan sumber protein lain,” katanya.